KUALA LUMPUR, 25 November 2025 – Timbalan Pengerusi SEKPUR, Shahbudin Embun, menyuarakan rasa kecewa dan sedih terhadap peletakan jawatan Datuk Seri Syamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri (PMX), susulan isu tular surat sokongan serta tekanan dalaman yang didakwa semakin hebat.
Menurut Shahbudin, beliau mengenali Syamsul Iskandar sejak mereka menuntut dalam pengajian undang-undang syariah pascasiswazah pada tahun 1998–1999 dan menyifatkan bekas timbalan menteri itu sebagai pemimpin setia, berpotensi besar dan mempunyai rekod cemerlang sebagai “giant killer” dalam politik PKR.
Beliau menegaskan bahawa isu surat sokongan yang menjadi kontroversi itu telah diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu, termasuk Ahli Parlimen yang mengkritik Syamsul di dalam dan luar Parlimen.
“Saya membaca surat itu, tidak ada arahan meluluskan apa-apa. Ia hanya menyampaikan hasrat syarikat untuk memasuki tender terhad. Ini perkara biasa dalam tugas Setiausaha Politik yang menyusun urusan rakyat dan syarikat untuk bertemu menteri,” katanya.
Shahbudin juga mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang mendakwa video tular itu “baru satu, ada banyak lagi”. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai sebahagian tekanan dalaman yang tidak adil terhadap Syamsul.
“Kalian bolehlah berpesta hari ini kerana kemahuan Rafizi dan geng telah tertunai. Karier masa depan seorang pemimpin setia telah kalian bunuh,” katanya.
Dalam masa sama, Shahbudin membangkitkan bahawa PMX memiliki dua bentuk cabaran utama: musuh luar dan musuh dalam parti sendiri. Beliau mendakwa serangan dalaman ini boleh merosakkan PKR jika tidak ditangani dengan teliti.
“PKR sudah berpecah dua. Golongan tertentu masih bermaharajalela dengan kritikan terhadap kepimpinan termasuk terhadap Nurul Izzah. Ini bukan budaya membina parti.”
Beliau turut menyeru PMX menilai semula pengaruh dan peranan kelompok yang sering mengkritik parti sendiri.
“Ada penasihat baik, ada penasihat buruk. Jangan sampai mereka yang kecewa ini menghancurkan PKR dan akhirnya kerajaan perpaduan itu sendiri.”
Shahbudin menutup ulasan dengan menyifatkan apa yang berlaku kepada Syamsul sebagai satu “penganiayaan” dan berharap PMX meneliti lebih mendalam isu-isu dalaman yang berpotensi menggugat kekuatan parti.
#IsuSyamsulIskandar #KrisisDalamanPKR #PMX #Rafizi #AATVNews #SuratSokongan #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #IsuSemasa #ShahbudinEmbun