KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengorak langkah menggunakan pendekatan baru dalam melaksanakan advokasi kepenggunaan melalui pelbagai aktiviti yang menarik dan mendekati pelbagai lapisan masyarakat pengguna.
“Program Kita Pengguna yang bertemakan Pengguna Malaysia Teguh Bersama Bijak Bestari” yang diadakan pada 26 hingga 28 Ogos 2022 bertempat di pusat membeli belah MyTOWN, Kuala Lumpur merupakan salah satu pendekatan yang diambil dalam melahirkan komuniti pengguna bijak dalam mewujudkan keharmonian dalam ekosistem ekonomi yang berteraskan masyarakat bersepadu dan Negara yang makmur.
Antara perkara yang diutamakan termasuklah penerapan budaya kepenggunaan atau consumerism yang berdaya-upaya, memperkasakan hak pengguna dan sikap keberanian dalam mengambil tindakan yang bersangkutan dengan hak-hak pengguna.
Penganjuran program ini adalah salah satu usaha dalam mengukuhkan fungsi teras KPDNHEP yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pengguna.
Program yang diadakan selama tiga hari ini melibatkan 13 pempamer yang terdiri daripada persatuan-persatuan pengguna, agensiagensi kerajaan, badan-badan berkanun, entiti swasta serta Bahagianbahagian di KPDNHEP yang terlibat dengan kepenggunaan, penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan.
Program ini mencakupi pelbagai aspek kepenggunaan seperti perlindungan dan pendidikan pengguna, penjagaan kesihatan, perancangan kewangan dan mengelakkan penipuan, keselamatan jalan raya, penguatkuasaan undang-undang, pemuliharaan alam sekitar serta impak subsidi yang diberikan Kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Sepanjang penganjuran program ini, pelbagai isu dan topik telah dibincangkan dan dipersembahkan melalui pertandingan debat, sesi perkongsian ilmu, pertunjukan masakan, pameran, kuiz dan acara hiburan.
Program ini juga menyaksikan pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Sosial Responsibility -CSR) anjuran Syarikat Hiroyuki Industries (M) Sdn. Bhd. – Syarikat Etika Beverages Sdn. Bhd. (Hiroyuki-Etika) to Rescue PET Bottle Project. Program CSR ini merupakan kerjasama KPDNHEP dan entiti korporat Hiroyuki-Etika yang sangat bertepatan dengan semangat ‘collaborative government’ dalam usaha memupuk kesedaran para pengguna menerusi kelab-kelab pengguna di sekolah dan Gerakan Pengguna Siswa di institut pengajian tinggi di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang.
Program ini menekankan kepada peranan pengguna dalam pengurusan sisa pepejal dan kepentingan proses kitar semula dalam pengurusan sumber dan alam sekitar yang baik selaras dengan matlamat yang digariskan di bawah pendayaupayaan pengguna dan juga Sustainable Developement Goals (SDG).
Penganjuran Program Kita Pengguna ini dilihat mampu memberikan kesedaran (awareness) terhadap peranan dan hak pengguna dalam membentuk pengguna yang bijak, bermaklumat dan mampu bertindak dengan baik bagi melindungi kepentingan diri. Ini sekaligus dapat mengurangkan penipuan dan penindasan terhadap pengguna oleh pihakpihak yang tidak bertanggungjawab.
KPDNHEP juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam menjayakan program ini dan semua pengunjung yang telah hadir dan memberi sokongan dalam penganjuran Program Kita Pengguna pada tahun ini. Senarai pempamer adalah seperti berikut:
Selain dari itu, KPDNHEP juga komited menyokong usaha dan kerjasama strategik dengan semua pihak termasuk IPT dalam meningkatkan kesedaran kepenggunaan atau consumerism di kalangan mahasiswa di mana baru-baru ini telah diadakan Majlis Penutup Prosenium Pengguna IPTA 2022 yang telah diadakan di Panggung Seni, UKM. Penyampaian advokasi kepenggunaan melalui platform seni kreatif yang menarik ternyata berjaya meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan mahasiswa.