

KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 — Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini memperkenalkan seorang tokoh muda yang sedang mencipta nama dalam dunia akademik apabila Dr. Mogesh Sababathy diiktiraf sebagai belia India pertama di Malaysia yang memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang imunobiologi, seterusnya melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, dalam sidang media khas itu menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Dr. Mogesh atas pencapaian luar biasa yang disifatkan sebagai satu kebanggaan buat belia India serta negara.
Menurut beliau, Dr. Mogesh, graduan Marine Biology dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh 2017–2022, meneruskan kecemerlangan akademiknya dengan menyambung pengajian PhD dalam bidang imunobiologi di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Ini adalah pencapaian besar. Dr. Mogesh membuktikan belia India mampu melangkaui bidang konvensional dan berjaya dalam bidang-bidang akademik luar biasa seperti imunobiologi,” kata Datuk Dr. Loga Bala.
PPP turut memberikan sokongan penuh kepada Dr. Mogesh sehingga pencapaian beliau direkodkan secara rasmi dalam Malaysian Book of Records.
Datuk Dr. Loga berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada golongan belia India untuk terus memilih bidang akademik berimpak tinggi dan mencabar kemampuan diri.
MOGESH SABABATHY: “Ini adalah fasa penting dalam hidup saya.”
Dalam ucapannya, Dr. Mogesh menzahirkan penghargaan kepada PPP, ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan serta semua pihak yang menyokong perjalanan akademiknya sehingga mencapai pengiktirafan MBOR.
Beliau menjelaskan bahawa kajian PhD beliau memfokuskan kepada penggunaan sel stem (stem cells) untuk merawat kecederaan paru-paru akibat jangkitan bakteria dalam sistem imun manusia, di bawah bidang besar imunobiologi.
Selain itu, Dr. Mogesh turut mendedahkan bahawa pengiktirafan MBOR juga diberikan kerana beliau merupakan seorang pembaca berita di BERNAMA TV, di mana beliau telah bertugas di Meja Berita Bahasa Inggeris selama tiga tahun.
“Saya sangat berterima kasih atas peluang ini. Ini bukan hanya kejayaan peribadi tetapi satu permulaan baharu buat saya,” katanya.
PPP berharap kejayaan Dr. Mogesh menjadi pencetus kepada lebih ramai belia melibatkan diri dalam bidang penyelidikan dan sains berimpak tinggi demi pembangunan negara.
#PPP #BeliaIndia #MalaysiaBookOfRecords #Immunobiology #UPM #UMT #AnakMudaBerjaya #InspirasiBelia #DrMogesh #AATVNews