KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Sri Panglima Bung Moktar Radin atas pemergian tokoh politik yang disifatkannya sebagai “ikon kecekalan politik Sabah”.
Menurut Dato’ Loga Bala, Bung Moktar merupakan seorang ahli politik luar biasa yang berjaya mengekalkan mandat rakyat selama enam penggal sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan – satu pencapaian yang jarang dapat ditandingi.
“Bukan satu penggal, bukan dua. Tetapi enam penggal. Itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sepanjang kerjaya politiknya, Bung Moktar telah melalui era enam Perdana Menteri Malaysia, bermula daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Sri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan terkini di bawah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tahu beliau adalah seorang tokoh yang tidak terlepas daripada kontroversi. Namun jasa-jasa beliau kepada rakyat Kinabatangan dan negara harus dikenang,” ujar Dato’ Loga Bala.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi saat sukar ini serta agar roh Bung Moktar dicucuri rahmat.
#BungMoktar #TakziahBungMoktar #PolitikSabah #Kinabatangan #AATVNews #DatoLogaBala #PolitikMalaysia #SalamTakziah #MenghargaiJasa #BeritaSemasa