
NILAI, 6 Disember 2025 — Pertandingan Mut Perundangan Angkasa 2025 (PMPA 2025) hari ini dilancarkan secara rasmi di Mahkamah Mut Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sekali gus mencipta sejarah sebagai penganjuran pertama seumpamanya di Malaysia. Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Dekan FSU, yang mewakili Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Majlis turut dihadiri wakil-wakil utama industri angkasa negara termasuk Dr. Mhd Fairos Asillam, Penguasa Angkasa MOSTI, En. Amerridzal Bidin, Timbalan Presiden Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), serta para peserta daripada universiti awam dan swasta seluruh Malaysia.

Kerjasama Strategik MOSTI–USIM Perkukuh Ekosistem Angkasa
Dalam ucapan perasmian, Dr. Abdul Manan menegaskan bahawa penganjuran PMPA 2025 adalah hasil kerjasama erat antara MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa dan USIM, sebuah sinergi yang menggabungkan kekuatan dasar, kepakaran akademik serta misi membangunkan modal insan dalam bidang angkasa.

Beliau menambah, sokongan padu YIM sebagai rakan strategik turut memperkukuhkan usaha menjadikan PMPA sebuah program nasional yang berimpak tinggi.
Platform Melahirkan Peguam Angkasa Generasi Baharu
Menurut beliau, PMPA bukan sekadar pertandingan berhujah, tetapi sebuah platform penting yang mempersiapkan mahasiswa menghadapi era baharu teknologi angkasa — termasuk isu liability, state responsibility, freedom of exploration, debris orbit, keselamatan satelit dan tadbir urus global.
“Bidang undang-undang angkasa bukan lagi konsep masa depan. Ia adalah keperluan semasa ketika dunia berlumba melancarkan roket komersial dan menempatkan ribuan satelit di orbit,” jelas beliau.
USIM Terus Perkukuh Peranan dalam Ilmu Frontier
Selaras dengan aspirasi universiti, USIM menekankan gabungan unik antara syariah, undang-undang dan sains, menjadikan diskusi mengenai tadbir urus angkasa lebih beretika, seimbang dan mampan.
Dr. Abdul Manan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk jawatankuasa penganjur, panel hakim, pensyarah dan sukarelawan yang memastikan pertandingan berjalan lancar dan profesional.
PMPA 2025 Rasmi Dibuka
Majlis diakhiri dengan pengumuman rasmi pembukaan PMPA 2025 yang disambut tepukan gemuruh oleh semua peserta. Pertandingan ini dijangka menjadi pemangkin kepada lahirnya pengamal undang-undang angkasa pertama negara dalam beberapa tahun mendatang.

#PMPA2025 #USIM #UndangUndangAngkasa #SpaceLaw #MOSTI #YIM #MahasiswaMalaysia #InovasiNegara #MalaysiaMADANI #FutureSpaceLeaders