
KUALA LUMPUR, 10 Disember 2025 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung dakwaan penindasan terhadap seorang peniaga warisan keluarga di Pasar Kuala Kubu Bharu (KKB), yang dikatakan berlaku di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, yang mengiringi mangsa, mendakwa peniaga terbabit – Yap Tung Fah dan anaknya Yap Weng Sun, generasi ketiga peniaga ayam dan sayur sejak sebelum merdeka – telah dinafikan hak mendapatkan petak niaga di Pasar Baru KKB setelah pasar lama ditutup.
Menurutnya, isu bermula hujung 2023 apabila keluarga itu didakwa tidak dipelawa mengambil bahagian dalam cabutan petak baharu, walaupun mereka peniaga sedia ada selama puluhan tahun.
“Modus operandi ini sangat menjijikkan. Mereka bayar sewa, bayar lesen tiap bulan, tetapi tanpa perjanjian sah. Bila mereka tanya keadilan, mereka dipinggirkan,” kata beliau.
Dakwaan Dendam & Ketidakadilan
Dato’ Dr Kalaivanar mendakwa wujud unsur “konspirasi” melibatkan pihak tertentu dalam MPHS termasuk YDP dan Pengarah Penilaian & Pengurusan Harta, yang didakwa sengaja tidak menawarkan lesen dan ruang niaga.
Peniaga berkenaan, katanya, hanya menuntut kejelasan – termasuk mengenai isu kebersihan di pasar, khususnya aliran sisa babi dan lemak dari longkang yang dikhuatiri mencemari kawasan yang kerap dikunjungi pelanggan Muslim.
“Dia bersuara sebab memikirkan masyarakat Islam di pasar itu. Sebaliknya dia dibalas dengan penindasan – lesen ditolak, tempat niaga tidak diberi,” katanya.
51 Hari Menunggu Jawapan

Yap Tung Fah turut dipanggil menghadiri temuduga pada 17 Oktober 2025, namun menurut Dato’ Dr Kalaivanar, mereka terpaksa menunggu lebih 50 hari tanpa sebarang makluman rasmi sebelum akhirnya diberitahu permohonan itu gagal.
“Dia bukan tinggal di Amerika atau Russia. Dia tinggal di Kuala Kubu Bharu. Surat pun tak dihantar dengan betul,” tegasnya.

SUHAKAM Turut Terlibat
Kes itu turut dibawa ke SUHAKAM, yang kemudian menyarankan Yap membuat permohonan baharu untuk petak niaga. Namun, Dato’ Dr Kalaivanar menyifatkan tindakan itu “sandiwara” kerana permohonan itu sekali lagi gagal tanpa alasan kukuh.
Menteri Tak Angkat Telefon?
Beliau turut kesal mendakwa pejabat Menteri KPKT, Nga Kor Ming, tidak menjawab panggilan selama dua hari apabila mereka ingin menyerahkan memorandum secara rasmi.
“Kami telefon berkali-kali. Kring-kring, tak ada siapa jawab. Gaji dibayar dengan duit rakyat. Jawablah telefon,” katanya.
Beliau membandingkan situasi itu dengan pengalaman menyerahkan memorandum kepada Bukit Aman, yang menurutnya lebih profesional dan responsif.
Tuntutan Kepada KPKT
Sekretariat menuntut agar menteri mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan penindasan, menyemak semula proses pemberian lesen, dan memastikan keadilan kepada keluarga peniaga berkenaan.
“Mereka bukan Bangla, bukan Rohingya. Mereka anak Malaysia yang menyanyikan lagu Negaraku. Jangan aniaya rakyat sendiri,” tambahnya.

Memorandum itu diterima oleh wakil Timbalan Menteri KPKT, Puan Aiman Athirah.
Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperjuangkan isu tersebut sehingga peniaga terbabit mendapat hak mereka untuk kembali berniaga seperti generasi terdahulu.
#AATVNews #KeadilanUntukPeniaga #IsuKualaKubuBharu #MPHS #KPKT #HakPeniaga #SuaraRakyat #MemorandumRakyat #BahanaKesetiaanNegara #BeritaSemasa