KUALA LUMPUR, 10 Disember 2025 — Sekretariat Orang Melayu (SOM) meneruskan komitmen memperkukuh perpaduan dan masa depan bangsa apabila Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi berlangsung hari ini, dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan pemimpin lain.
Dalam sidang media selepas mesyuarat, Ketua Sekretariat SOM, Datuk Marzuki Yahya, memaklumkan bahawa konvensyen besar Sekretariat akan tetap diteruskan pada 13 Disember ini (Sabtu) bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma, walaupun Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi tidak dapat hadir kerana kurang sihat.
Menurut beliau, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa, termasuk kebimbangan terhadap Perjanjian ART yang didakwa mampu mengubah landskap negara dan mengancam kedaulatan Malaysia.
“Daripada sebuah negara merdeka, kita mungkin akan berada di bawah telunjuk kuasa asing, khususnya Amerika Syarikat. Ini bukan hanya isu orang Melayu, tetapi melibatkan seluruh rakyat Malaysia,” tegas Datuk Marzuki.
Beliau turut mendedahkan bahawa polis telah menerima pelbagai laporan di seluruh negara berkaitan perkara itu, termasuk laporan oleh Tun Dr Mahathir sendiri. Namun, katanya, belum ada perkembangan jelas mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap laporan tersebut.
SOM turut menyatakan komitmen untuk mempergiat penerangan kepada rakyat mengenai risiko terhadap agama, bangsa dan negara jika perjanjian tersebut tidak ditangani dengan serius.
“Sekretariat ini bukan sahaja untuk menyelamatkan orang Melayu, tetapi juga masa depan negara dan agama kita,” tambah beliau.
Dalam mesyuarat itu, SOM turut bersetuju menambah bilangan ahli Majlis Tertinggi, dengan beberapa nama telah dipersetujui dan akan diumumkan pada mesyuarat akan datang.
Akhirnya, Datuk Marzuki menyeru semua ahli dan orang Melayu hadir ke konvensyen 13 Disember nanti dengan imej kebudayaan Melayu.
“Kita hadir dengan identiti kita — pakai baju Melayu,” katanya.
#SekretariatOrangMelayu #TunM #ARTMalaysia #KedaulatanNegara #BangsaDanAgama #IsuSemasaMalaysia #KonvensyenSOM #BeritaAATV #MalaysiaTerkini #SuaraMelayu