PUCHONG, 11 Disember 2025 — Sekretariat Ikhlas Malaysia hari ini mendesak agar isu tunggakan bayaran hampir RM800,000 kepada seorang kontraktor, En. Selvam, diselesaikan segera oleh pihak kontraktor utama, pengurusan masjid serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Aktivis NGO, Datuk Ridzuan Ikhlas, memberi tempoh tujuh hari kepada semua pihak terlibat untuk membuat pembayaran atau sekurang-kurangnya menyatakan komitmen jelas. Jika gagal, NGO tersebut akan menggerakkan himpunan besar-besaran di hadapan pejabat JAIS atau Pejabat Menteri Agama di Putrajaya.

Menurut Ridzuan, projek pembinaan masjid di Subang Jaya itu berada di bawah seliaan ICU Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2020. Beliau mendakwa bahawa projek yang asalnya diberikan kepada sebuah syarikat Bumiputera telah disubkontrakkan pula kepada syarikat lain, sebelum sebahagian kerja termasuk turapan jalan, pembinaan parit dan parkir diserahkan kepada kontraktor terbabit, En. Selvam.

Walaupun Mahkamah Tinggi memutuskan kemenangan memihak kepada En. Selvam, beliau masih tidak menerima bayaran walau sesen sehingga kini.

Ridzuan turut menzahirkan rasa kecewa apabila mendakwa pihak pengurusan masjid serta JAIS pada awalnya memberi jaminan akan membantu, namun kemudian “menghilangkan diri” dan gagal memberi sebarang kerjasama.

“Saya sebagai seorang Islam rasa malu. Ini melibatkan masjid, tempat ibadah. Janji tak ditunaikan, kontraktor pula teraniaya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sekretariat Ikhlas Malaysia bersedia untuk mendedahkan lebih banyak maklumat berkaitan jika masalah ini terus dipandang sepi, termasuk mengambil langkah yang lebih agresif demi mendapatkan keadilan kepada kontraktor tersebut.

NGO itu juga menekankan bahawa isu seperti ini memberi imej buruk kepada institusi agama dan amat bercanggah dengan prinsip amanah yang seharusnya dijunjung oleh pihak bertanggungjawab.

#AATVNews #IsuMasjid #KeadilanKontraktor #JAIS #SekretariatIkhlasMalaysia #IsuTunggakan #RakyatTertindas #MasjidSubangJaya #KerajaanPersekutuan #DatukRidzuanIkhlas

Leave a Reply