Oplus_16908288

SUBANG, 11 Disember 2025 — Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Abu Hanifah, tampil menyatakan pendirian tegas menolak cadangan kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menegaskan langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan asas sistem pendidikan negara.

Menurut Armand, meskipun wujud kerjasama politik dalam kerajaan semasa, UMNO tetap berhak menyuarakan pendirian yang dianggap penting demi kepentingan nasional serta masa depan pendidikan negara.

“Saya selaku pemimpin kerdil UMNO mewakili UMNO Bahagian Subang menegaskan pendirian bahawa saya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Walaupun ada rakan pemimpin tidak setuju kerana kerjasama politik, sebagai pemimpin UMNO, saya wajib bersuara kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan UEC mengundang pelbagai percanggahan dengan sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan perpaduan nasional. Sebaliknya, kerajaan seharusnya memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh sekolah kebangsaan.

Armand yang pernah menjadi Exco Pemuda UMNO menambah bahawa beliau konsisten memperjuangkan konsep “Sekolah Wawasan Malaysia”, sebuah model pendidikan yang menggabungkan semua kaum dalam suasana harmoni dan setiakawan, selari dengan aspirasi perpaduan nasional.

“Inilah jalan terbaik untuk mengukuhkan negara, bukan dengan mengiktiraf UEC,” tegasnya lagi.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan DAP supaya tidak mengugut untuk keluar kerajaan hanya kerana isu UEC.

“UMNO adalah rakan kerjasama politik dalam kerajaan. Tetapi dalam hal ini pendirian kami jelas — UMNO tidak akan bersetuju dengan cadangan pengiktirafan UEC yang dibawa oleh DAP. Berkata benar walaupun pahit,” katanya.


Kenyataan tegas Armand dijangka mencetuskan reaksi pelbagai pihak dalam kerajaan perpaduan, khususnya di blok rakan gabungan politik.

Screenshot

#AATVMedia #IsuUEC #UMNO #ArmandAzha #PendidikanMalaysia #SekolahKebangsaan #SekolahWawasan #KerajaanPerpaduan #IsuSemasaMalaysia #DemiPerlembagaan

Leave a Reply