KUALA LUMPUR, 14 Disember 2025— Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Dato’ Mohd Rosdi Ab. Aziz menyambut baik ucapan dan pandangan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang disifatkan sebagai jujur, telus dan berpijak pada realiti sebenar sektor pembinaan negara.

Menurut beliau, pendekatan keterbukaan yang ditunjukkan TPM bukan sekadar bersifat dasar, sebaliknya lahir daripada kefahaman mendalam terhadap permasalahan sebenar yang dihadapi kontraktor di lapangan.

“Alhamdulillah, itu yang sebenarnya kita nak dengar. Ketelusan dan keterbukaan daripada sudut hati, bukan sekadar ucapan seorang Timbalan Perdana Menteri, tetapi realiti yang beliau sendiri dapat rasai tentang apa yang berlaku dalam sektor pembinaan hari ini,” katanya.


Dato’ Mohd Rosdi menyifatkan ucapan tersebut sebagai antara yang terbaik kerana memberi penekanan bukan sahaja kepada dasar kerajaan, malah membuka ruang peluang yang lebih adil kepada kontraktor tempatan, khususnya kontraktor Bumiputera.

Beliau turut menegaskan keperluan pengagihan projek berskala besar secara lebih menyeluruh, termasuk projek bernilai RM83 bilion, dengan sekurang-kurangnya RM7.7 bilion diagihkan secara lebih meluas agar peluang dapat dinikmati oleh seramai mungkin kontraktor yang benar-benar layak, katanya ketika ditemui Media selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia disini hari ini.

“Peluang itu perlu dapat dinikmati oleh seramai mungkin kontraktor. Kita tidak mahu isu kartel ini terus berterusan kerana ia adalah antara isu utama yang membelenggu sektor pembinaan,” jelasnya.


Dalam pada itu, beliau menyokong penuh cadangan saringan ketat terhadap kontraktor yang diumumkan TPM bagi membanteras kegiatan kartel dalam industri pembinaan.

“Kita bersetuju sepenuhnya. Kartel ini biasanya bukan kontraktor yang genuine. Mereka hanya meminjamkan lesen kepada pihak tertentu untuk menguasai projek,” katanya.


Tambah beliau, langkah saringan yang berkesan diyakini mampu mengesan pihak-pihak yang terlibat, seterusnya membolehkan tindakan tegas diambil termasuk penggantungan atau pembatalan lesen.

Dato’ Mohd Rosdi menegaskan bahawa kewujudan kartel bukan sahaja menyekat peluang kontraktor tulen, malah merosakkan ekosistem pembinaan negara secara menyeluruh.

“Kontraktor genuine ini ada pengalaman, ada keupayaan dan ada kemampuan. Tetapi peluang mereka disekat kerana kartel bukan sahaja kuat dari segi kewangan, malah mempunyai pengaruh luar biasa yang boleh merosakkan kesempurnaan sektor pembinaan,” katanya.


Mengulas mengenai keahlian PKMM, beliau memaklumkan persatuan itu mempunyai lebih 60,000 ahli berdaftar, namun hanya 26,614 kontraktor yang aktif menyertai program dan gerak kerja persatuan ketika ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah kontraktor Bumiputera di seluruh negara dianggarkan melebihi 70,000 orang, namun hanya sekitar 5.5 peratus daripada keseluruhan 138,000 kontraktor berdaftar di Malaysia, sekali gus menunjukkan keperluan pembelaan dan dasar yang lebih inklusif terhadap kontraktor Bumiputera.

#KartelPembinaan
#KontraktorBumiputera
#PKMM
#KetelusanKerajaan
#TPMMalaysia
#ReformasiPembinaan
#HapusKartel
#EkonomiMadani
#PeluangKontraktor
#BeritaAATV

Leave a Reply