KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang bukan daripada kalangan orang Melayu buat pertama kali dalam sejarah disifatkan sebagai satu isyarat besar terhadap realiti politik bandar, khususnya di ibu negara.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, berkata situasi itu bukan sekadar pertukaran jawatan dalam kabinet, sebaliknya mencerminkan hakikat pahit perpecahan undi Melayu yang berpanjangan, terutamanya di kawasan bandar.

“Ini bukan soal siapa menang atau kalah. Ini soal kedudukan kita hari ini di Kuala Lumpur. Dengan hati yang berat, kita harus akui bahawa kekuatan Melayu di bandar semakin terhakis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, suatu ketika dahulu Kuala Lumpur merupakan simbol kekuatan kepimpinan Melayu, bermula dari era Perdana Menteri terdahulu sehingga zaman pembangunan pesat pada 1980-an dan 1990-an. Namun, sejarah juga membuktikan bahawa kekuatan Melayu hanya wujud apabila bersatu.

Beliau mengingatkan bahawa UMNO ditubuhkan pada 1946 atas kesedaran orang Melayu bahawa perpecahan hanya akan melemahkan bangsa, manakala kemerdekaan negara dan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pula lahir hasil kesepaduan dan kebijaksanaan bersama.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abdul Razak berkata daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, UMNO hanya memenangi satu kerusi, manakala selebihnya dikuasai Pakatan Harapan, kebanyakannya oleh DAP, meskipun jumlah pengundi Melayu masih signifikan di banyak kawasan.

“Masalahnya bukan bilangan pengundi Melayu, tetapi undi kita berpecah. Bila undi berselerak, kita hilang kuasa penentu. Politik tidak kenal sentimen, ia hanya kenal nombor,” tegas beliau.

Tambahnya, politik bandar menuntut disiplin, strategi dan kesatuan. Tanpa ketiga-tiga elemen itu, orang Melayu hanya akan terus menjadi penonton di kota yang suatu ketika dahulu diterajui oleh kepimpinan Melayu.

Beliau turut menyeru agar orang Melayu bandar kembali bermuhasabah dan bersatu demi masa depan generasi akan datang.

“Jika kita benar-benar sayangkan masa depan Melayu bandar, kita perlu kembali kepada sesuatu yang pernah menyatukan kita. UMNO mungkin pernah tersilap, tetapi tiada parti lain yang lahir dari denyut nadi perjuangan Melayu dengan akar umbi sedalam ini,” katanya.

Menurut Abdul Razak, PRU akan datang bukan sekadar pilihan raya biasa, sebaliknya peluang terakhir untuk membetulkan hala tuju politik Melayu di bandar.

“Jangan biarkan rasa sayu hari ini menjadi penyesalan yang kekal. Kita pernah kuat, dan kita masih boleh bangkit – jika kita kembali bersatu,” katanya.

#UMNOKepong #PolitikBandar #MelayuBersatu #WilayahPersekutuan #RealitiPRU15 #SuaraMelayu #BangkitBersama #AATVMalaysia #SejarahPolitik #MasaDepanBandar

Leave a Reply