
KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025 – Rombakan Kabinet yang diumumkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), mencipta satu detik bersejarah apabila jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kini diterajui oleh YB Hannah Yeoh daripada DAP.
Pelantikan ini merupakan kali pertama dalam sejarah Wilayah Persekutuan menyaksikan kedua-dua jawatan Menteri dan Timbalan Menteri bukan daripada kalangan orang Melayu. Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu di Wilayah Persekutuan yang merangkumi hampir 45 peratus komposisi penduduk.
Menurut Datuk Gulam Muszaffar, Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, maklum balas yang diterima beliau menunjukkan wujud rasa tidak selesa dan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu susulan lantikan berkenaan.
Beliau secara terbuka mengakui tidak berharap YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa untuk terus menerajui Wilayah Persekutuan susulan prestasi yang didakwa tidak memuaskan serta pelbagai isu pengurusan dan percaturan politik yang dilihat tidak mesra terhadap parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pelantikan Menteri daripada DAP bukanlah pilihan yang diharapkan, memandangkan agenda-agenda seperti pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) dilihat sebagai keutamaan parti itu — agenda yang selama ini ditentang oleh UMNO Wilayah Persekutuan.
“Ini adalah natijah apabila DAP memiliki lima daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dan menggunakan kekuatan politik tersebut untuk menerajui pentadbiran WP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berpandangan bahawa strategi politik Perdana Menteri mungkin bertujuan mengelakkan kehilangan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar, mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.
Tambah beliau, rombakan Kabinet kali ini berkemungkinan merupakan rombakan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus dilihat sebagai usaha DAP untuk menstruktur semula kedudukan politik mereka bagi kembali ke landasan pengaruh seperti sebelum ini.
Mengakhiri kenyataannya, Datuk Gulam menyifatkan pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan kali ini sebagai “lari dari mulut buaya, masuk ke mulut naga”, sambil menyeru orang Melayu di Wilayah Persekutuan supaya bersatu bagi mengembalikan kekuatan dan kuasa politik Melayu di kawasan itu.
“Wallahualam,” katanya.
#RombakanKabinet
#WilayahPersekutuan
#WPSejarahTerpahat
#PolitikBandar
#PRU16
#KabinetMalaysia
#AgendaBandar
#SuaraMelayuWP
#KerajaanPerpaduan
#AATV