KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025 – Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Berhad (KPFB) terus mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai antara koperasi bertaraf elit negara, dengan keupayaan menjana keuntungan mampan dan mengagihkan pulangan konsisten kepada ahli, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemacu ekonomi rakyat luar bandar.

Kejayaan itu terserlah apabila KPFB mengumumkan pengagihan dividen berasaskan operasi sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2025, mencerminkan keupayaan tadbir urus yang profesional, berdisiplin dan berintegriti.

Pengerusi FELCRA Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Jazlan bin Yaakub, menyifatkan KPFB sebagai sebuah koperasi contoh yang bukan sahaja mengejar keuntungan, malah menitikberatkan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial selari dengan prinsip pembangunan inklusif.
Menurut beliau, kekuatan sebenar KPFB terletak pada keupayaannya membina ekosistem perniagaan yang memberi manfaat menyeluruh kepada peserta, komuniti luar bandar serta keseluruhan rangkaian FELCRA.
Sehingga kini, selepas lebih dua dekad penubuhannya, KPFB telah mengagihkan dividen melebihi RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA di bawah naungannya – satu pencapaian yang membuktikan koperasi mampu menjadi jentera ekonomi rakyat jika diurus secara profesional dan berwawasan.
Prestasi cemerlang itu turut mendapat pengiktirafan tertinggi apabila KPFB dianugerahkan Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sekali gus mengesahkan kedudukannya dalam kelas tersendiri dalam gerakan koperasi negara.

Dalam YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menegaskan bahawa kejayaan koperasi tidak boleh dinilai berdasarkan laporan kewangan semata-mata, sebaliknya mesti dirasai secara langsung oleh ahli.
“Dividen, peluang perniagaan dan peningkatan kesejahteraan hidup ahli adalah ukuran sebenar kejayaan koperasi. KPFB telah membuktikan perkara ini,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa masa depan ekonomi luar bandar tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada subsidi, sebaliknya mesti dipacu oleh pemilikan ekonomi, tadbir urus yang baik serta perkongsian keuntungan yang adil – peranan teras yang perlu dimainkan oleh koperasi.
Tambah beliau, kejayaan KPFB yang berjaya menghimpunkan modal melebihi RM11 juta melalui pegangan saham koperasi peserta FELCRA membuktikan koperasi luar bandar mampu berdiri setanding entiti korporat jika diurus secara strategik.


Pada majlis sama, KPFB turut memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemain industri dalam sektor penternakan ayam, pembekalan beras serta perniagaan hiliran – langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi di peringkat nasional.
Pengumuman dividen 15 peratus itu sekali gus menegaskan kedudukan KPFB sebagai model koperasi masa depan – profesional, inklusif dan berimpak tinggi – selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pemerkasaan ekonomi rakyat luar bandar.
“Jika kita mahu bergerak jauh, kita mesti bergerak bersama. KPFB membuktikan koperasi mampu menjadi platform pemilikan ekonomi sebenar rakyat,” ujar YAB Timbalan Perdana Menteri menutup ucapannya.

#KPFB #KoperasiElit #Dividen15Peratus #EkonomiLuarBandar #FELCRA #MalaysiaMADANI #PemilikanEkonomiRakyat #KoperasiPremier2025 #BeritaAATV #EkonomiDesa