KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Dakwaan wujudnya elemen “political ransom” oleh DAP kini dilihat semakin terserlah apabila rombakan Kabinet yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar daripada rombakan kecil kepada perubahan besar-besaran dalam tempoh yang singkat.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, rombakan tersebut pada asalnya hanya bertujuan mengisi tiga kekosongan menteri susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Namun, katanya, tanpa perlu menunggu tempoh enam bulan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, tekanan politik DAP dilihat berjaya mengubah keseluruhan landskap percaturan politik kerajaan dalam tempoh kurang seminggu.
“Ini membuktikan apa yang saya sebutkan sebelum ini bahawa wujud ‘political ransom’ di belakang tirai kem Pakatan Harapan. DAP kini sedang kembali kepada ‘fundamental politic’ mereka – ultra dan kiasu – walaupun berada dalam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengaitkan perubahan nada dan serangan terbuka pemimpin DAP seperti Gobind Singh Deo, Lim Guan Eng dan Ramkarpal Singh terhadap kerajaan susulan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Isu-isu sosial, kebebasan, ekonomi dan kesamarataan kembali dijadikan senjata politik. Ini adalah agenda lama DAP yang dilihat hanya berpaksikan kepentingan satu kaum,” tambahnya.
Datuk Gulam Muszaffar turut mendedahkan bahawa Pasukan Pengurusan Krisis Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersama Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) kini berdepan cabaran besar apabila maklum balas awal menunjukkan hampir 70 peratus rakyat tidak bersetuju, berasa tidak selesa dan gusar dengan rombakan kabinet berkenaan.
“Itu bukan petanda yang baik,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau melihat satu perkembangan positif apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) memperoleh semula portfolio strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), selain pertambahan seorang lagi menteri daripada BN.
“Secara keseluruhan, BN kini mempunyai lapan menteri dan lima timbalan menteri, termasuk muka baharu YB Shahar dari Paya Besar. Lantikan ini tidak menimbulkan isu besar kecuali serangan berterusan pihak yang mempunyai sentimen anti-Zahid,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Datuk Gulam Muszaffar mempersoalkan tindakan BN sekiranya tekanan politik DAP terus berjaya mempengaruhi kerajaan, terutamanya menjelang keputusan berkaitan isu kewujudan Titah Addendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada 22 Disember 2025.
“Ramai ahli UMNO menunggu dengan penuh harapan agar Bossku diberikan keadilan sewajarnya. Jika keputusan tidak seperti diharapkan, apakah langkah seterusnya BN? Wallahuallam,” katanya.
#PoliticalRansom #RombakanKabinet #DAP #PMX #KerajaanMadani #UMNO #BN #Bossku #TitahAddendum #AATVNews