SHAH ALAM – Di sebalik suara lunak dan kerjaya seni yang bertahan hampir dua dekad, penyanyi terkenal Ayu Damit menyimpan kisah perit yang jarang diketahui umum apabila mendedahkan pernah berdepan tekanan emosi serius akibat kecaman berterusan terhadap rupa parasnya sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Ayu atau nama sebenarnya Nur Ayu Damit mengakui sepanjang 18 tahun berada dalam industri hiburan, dia sering berdepan pandangan negatif yang melabel dirinya berwajah kampung, tidak cantik dan tidak layak berada di pentas hiburan hanya kerana penampilan fizikal yang tidak memenuhi persepsi kecantikan tertentu.

Lebih menyedihkan, penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu berkata, terdapat pihak yang tanpa segan silu meramalkan kegagalannya dalam industri seni semata-mata kerana wajah yang dianggap tidak komersial.

Menurut Ayu, kata-kata itu tidak berhenti sebagai kritikan biasa, sebaliknya berulang kali dilemparkan sehingga menjejaskan keyakinan diri dan menyebabkan dirinya mula mempersoalkan nilai diri sendiri sebagai seorang wanita dan anak seni.

“Tekanan emosi yang dipendam dalam tempoh lama akhirnya membawa kepada kemurungan, apabila setiap kecaman sedikit demi sedikit membentuk suara negatif dalam fikirannya.

“Situasi menjadi semakin sukar apabila setiap usaha saya untuk melakukan perubahan terhadap penampilan diri turut dipandang serong.

“Ketika cuba tampil lebih kemas dan anggun di atas pentas, dia pula dituduh berlebihan dan tidak menjaga batas,” katanya.

Menurutnya, apa sahaja yang dilakukan seolah-olah sentiasa salah di mata segelintir pihak.

Ketika tampil sederhana, dia dikritik, manakala apabila berusaha menjaga penampilan, dia sekali lagi dipersoalkan.

Lebih memilukan, Ayu turut berdepan tuduhan melampau apabila penampilannya dikaitkan dengan kegagalan suami mendidik isteri, selain menerima komen menghina cara berpakaian dan bertudung yang menyentuh maruah dirinya serta keluarga.

“Sebagai manusia biasa, saya mempunyai perasaan dan batas kesabaran. Walaupun kelihatan cekal di hadapan khalayak, hakikatnya tekanan emosi tersebut memberi kesan mendalam yang hanya diketahui oleh dirinya dan Allah SWT.

“Namun, pengalaman pahit itu akhirnya membuka ruang untuk saya bermuhasabah dan berdamai dengan diri sendiri,” katanya.

Beliau menyedari bahawa nilai seorang wanita tidak ditentukan oleh kecantikan luaran, sebaliknya terletak pada kekuatan jiwa dan keikhlasan hati.

Selepas melalui fasa gelap dalam kehidupan, Ayu mengambil langkah mendapatkan bimbingan emosi daripada Dr Hisham Dzakiria, yang lebih dikenali sebagai Dr Healing.

Pertemuan itu menjadi titik perubahan penting dalam proses pemulihan emosi dan pembinaan semula keyakinan dirinya.

Dr Hisham berkata, ujian hidup adalah fitrah setiap insan tanpa mengira status, populariti atau latar belakang.

Menurutnya, keupayaan mengawal emosi dan reaksi terhadap ujian jauh lebih penting berbanding persoalan mengapa sesuatu perkara berlaku.

“Melayan suara negatif hanya akan menyebabkan seseorang hilang fokus, hilang arah dan akhirnya kehilangan jati diri.

“Setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan adalah ketentuan Allah SWT dan manusia dituntut untuk menerima takdir tersebut dengan hati yang terbuka, kerana di sebalik ujian pasti terselit hikmah yang belum tersingkap,” katanya.

Ayu dan Dr Hisham berkongsi pandangan itu ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi Healing Centre Dr Hisham Dzakiria di Shah Alam, Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Hisham berkata peningkatan kes tekanan emosi, kemurungan dan kebimbangan melampau dalam kalangan masyarakat hari ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental bukan lagi perkara terpencil, sebaliknya satu keperluan mendesak yang perlu ditangani secara serius.

Sehubungan itu, Healing Centre Dr Hisham Dzakiria ditubuhkan sebagai pusat terapi emosi yang menawarkan pendekatan praktikal, tersusun dan berfokuskan penyelesaian bagi membantu individu mencapai kestabilan emosi serta transformasi minda secara menyeluruh.

Katanya, pusat berkenaan diwujudkan bagi memastikan khidmat kesihatan mental dapat diakses dengan lebih mudah oleh masyarakat tanpa rasa takut atau stigma.

Menurutnya, masih ramai individu yang memendam masalah emosi akibat rasa malu atau bimbang dilabel lemah, sedangkan mendapatkan bantuan profesional adalah satu tindakan berani demi kesejahteraan hidup.

Healing Centre Dr Hisham Dzakiria beroperasi di bawah Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd yang turut menjalankan seminar berkaitan pembangunan diri dan pengurusan kesihatan mental.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat janji temu boleh menghubungi 010-3243243 atau hadir ke pusat berkenaan di No. 12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, 40170 Shah Alam. Pusat ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

By Cynthia

Leave a Reply