PETALING JAYA, 29 Januari 2026 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal mengoptimumkan peruntukan berjumlah RM4.4 juta yang disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb) bagi memperkasa pembangunan gerakan koperasi negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan bagi memperkukuh ekosistem koperasi yang merangkumi pendidikan, pembangunan perniagaan dan keusahawanan berimpak tinggi, selaras dengan keperluan semasa serta aspirasi pembangunan gerakan koperasi negara.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan selari dengan usaha berterusan ANGKASA memastikan koperasi kekal relevan, berdaya saing dan mampan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, termasuk tuntutan pendigitalan, inovasi perniagaan dan perluasan pasaran.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, berhubung peruntukan keseluruhan RM254 juta bagi pembangunan gerakan koperasi pada tahun 2026 – peruntukan terbesar dalam sejarah gerakan koperasi Malaysia.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, suntikan dana tersebut jelas membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam memperkasa gerakan koperasi sebagai rakan strategik pembangunan sosioekonomi negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan holistik.
“ANGKASA menyambut baik peruntukan yang diberikan dan akan memastikan setiap dana dimanfaatkan secara berkesan serta memberi impak maksimum, khususnya dalam memperkukuh keupayaan koperasi, melahirkan modal insan berkualiti dan memperluas akses pembiayaan kepada koperasi di semua peringkat,” katanya.
Antara tumpuan utama pelaksanaan ialah pengukuhan pendidikan koperasi yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan keusahawanan menerusi inisiatif seperti Program Pembangunan Kepimpinan dan Keusahawanan Muda Koperasi (SLiCE), Cooperative Leadership Programme (CLP) serta bantuan pendidikan melalui Yayasan ANGKASA.
Program-program ini merangkumi latihan industri, latihan pengurusan serta pembiayaan pendidikan bagi melahirkan pemimpin dan anggota koperasi yang kompeten, berdaya saing dan berwawasan.
Selain itu, ANGKASA turut merancang pelaksanaan program pembangunan perniagaan koperasi yang lebih tersasar melalui pembentukan konsortium, pemadanan perniagaan, transformasi digital serta pelaksanaan konvensyen dan program keusahawanan yang menekankan latihan, bimbingan dan pemantauan secara mentor-mentee.
Langkah ini diyakini mampu memperkukuh koperasi komuniti dan konsortium strategik sekali gus meningkatkan perolehan serta daya tahan ekonomi koperasi.
Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau menerima lawatan rasmi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong ke ibu pejabat ANGKASA, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menegaskan bahawa ANGKASA yakin peruntukan RM4.4 juta ini akan memberi manfaat langsung kepada koperasi dan anggotanya, seterusnya memperkukuh peranan gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang inklusif dan berdaya tahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan serta menegaskan komitmen ANGKASA untuk terus bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan program yang tersusun, telus dan berfokus kepada kesejahteraan anggota koperasi dan rakyat secara keseluruhan.
#GerakanKoperasi #ANGKASA #RM254Juta #EkonomiRakyat #MalaysiaMADANI #KoperasiBerdayaSaing #UsahawanKoperasi #PemerkasaanKoperasi #SKM #AATVNews