oplus_4194304

SHAH ALAM, 1 Februari 2026 – Amelia Jewelery, jenama perhiasan emas milik penuh syarikat Bumiputera, terus mencuri perhatian apabila sambutan pelancaran cawangan pertamanya menerima respons amat menggalakkan daripada orang ramai, termasuk kehadiran ramai tokoh VIP serta peningkatan jualan sejak hari pertama.

Penasihat Syarikat Amelia Resources (M) Sdn Bhd, Tan Sri Ghani Saleh, melahirkan rasa syukur atas kejayaan majlis pelancaran tersebut yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh sokongan masyarakat.

“Alhamdulillah, kehadiran orang ramai sejak semalam hingga hari ini amat menggalakkan. Dari segi sambutan dan jualan, kami benar-benar bersyukur,” katanya ketika ditemui media pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, ramai tetamu kehormat yang hadir bukan sahaja memeriahkan acara malah turut singgah membeli emas, khususnya emas dinar, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap jenama Amelia Jewelery.

Tan Sri Ghani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penaja, penganjur, penyedia makanan dan minuman, penyedia khemah serta pasukan rider yang membantu menjayakan majlis tersebut.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan Amelia Jewelery mempunyai perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di masa hadapan, tertakluk kepada keadaan semasa dan pemilihan rakan niaga yang sesuai.

“Malah sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk sama-sama berniaga dalam bidang perhiasan emas ini,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai, khususnya masyarakat Melayu, agar tidak takut untuk melabur dalam emas kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang yang stabil dan tidak merugikan.

Menjawab soalan wartawan mengenai penglibatannya dalam dunia perniagaan selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan, Tan Sri Ghani menjelaskan ia bermula secara santai sebelum berkembang menjadi perniagaan fizikal.

“Pada awalnya sekadar berbincang sambil minum kopi, tetapi sambutan yang menggalakkan membuatkan kami mengambil keputusan untuk membuka kedai secara fizikal,” katanya.

Tambah beliau, perniagaan tersebut dijalankan bersama Datuk Zul dan kini terbukti membuahkan hasil hasil kerjasama padu semua pihak.
Mengulas pelan pengembangan, Amelia Jewelery sedang meneliti peluang membuka cawangan baharu di utara dan selatan tanah air selain mempertimbangkan model francais.

“InsyaAllah, jika sesuai dengan rakan kongsi, kami juga sedang berbincang dengan pihak ANGKASA bagi membuka peluang pembelian emas kepada pegawai-pegawai kerajaan melalui koperasi,” jelasnya.

Majlis perasmian Amelia Jewelery telah disempurnakan oleh Primadona Malaysia, Erra Fazira, bersama suaminya Ezwan Zain, sekali gus menambah seri dan prestij kepada jenama tersebut.

Untuk rekod, Amelia Jewelery merupakan jenama perhiasan emas milik penuh syarikat Bumiputera yang diperbadankan pada 16 Mac 2023 dan diterajui oleh pasukan profesional muda berpengalaman dalam industri emas.

#AmeliaJewelery #PelaburanEmas #EmasBumiputera #BeritaAATV #BisnesSelepasBersara #EmasDinar #EkonomiRakyat #UsahawanMelayu #PelaburanSelamat #EmasUntukMasaDepan

Leave a Reply