KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum Oktober 2026 dengan keutamaan diberikan kepada strategi menawan hati pengundi muda, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari.
Beliau berkata, pengalaman lalu membuktikan persiapan awal dan kesiapsiagaan jentera amat penting dalam memastikan kemenangan, namun cabaran kali ini lebih tertumpu kepada bagaimana mengurus serta mendekati kelompok pengundi muda yang dilihat semakin dinamik dan sukar dijangka.
“Kita tahu suka atau tidak, sebelum Oktober 2026 PRU perlu diadakan. Berdasarkan pengalaman lepas, insya-Allah kesiapsiagaan itu akan berlaku. Cuma sekarang bagaimana nak mengurus dan menilai strategi, terutama untuk pengundi muda,” katanya.
Menurutnya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendepani cabaran politik di negeri itu.
Dalam pada itu, Rosni berkata pergerakan Wanita UMNO tidak pernah berhenti bekerja sejak memenangi pilihan raya sebelum ini dan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi.
“Kerja Wanita tidak pernah berhenti. Sejak menang PR sampai sekarang, kita terus bergerak. Kita jangka keputusan kali ini lebih baik kerana sudah belajar daripada pengalaman PRK dan PRN Sabah,” katanya.
Beliau turut merujuk pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri serta DUN Mahkota sebagai medan pengajaran untuk memperbaiki strategi dan mencari kaedah terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Suka atau tidak, kita kena menang di PRN Melaka. Pengalaman yang sangat perit di Sabah sudah cukup memberi pengajaran,” katanya.
Rosni mengakui isu gabungan parti masih menjadi perbincangan dalam kalangan akar umbi, dengan ada pihak menyokong kerjasama politik manakala sebahagian lagi kurang dapat menerima gabungan tertentu.
“Pengalaman sudah cukup beri kepada kita. Kalau gerak solo, tidak mungkin dapat tubuh kerajaan. Politik hari ini bukan seperti dahulu, bukan politik zaman mudah,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik turut mengubah landskap politik negara apabila lebih ramai pengundi muda menyertai proses demokrasi.
“Ada dalam kalangan mereka belum benar-benar memahami politik. Ada yang mengundi ikut citarasa dan naluri tanpa fikir panjang. Jadi sesiapa yang hadapi pilihan raya akan datang mesti ambil kira faktor ini dan fikir cara untuk ‘tackle’ pengundi muda,” katanya.
Menurutnya, pengundi muda berpotensi menjadi ‘swing voters’ yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti.
“Saya risau pengundi muda boleh swing bila-bila masa. Suka tak suka, mereka boleh menentukan menang atau kalah,” katanya.
Mengulas mengenai kelemahan parti, Rosni mengakui tiada parti yang sempurna, namun kerajaan hari ini berusaha melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat termasuk golongan muda.
“Kita tidak sempurna. Tetapi kerajaan hari ini cuba buat yang terbaik untuk masa depan mereka. Apa dibuat UMNO dan kerajaan hari ini adalah untuk masa depan pengundi muda,” katanya.
Beliau memberi contoh pentadbiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menurutnya sentiasa berusaha memenuhi kehendak rakyat di negeri itu.
“Apa dibuat di Pahang adalah untuk rakyat. Kita kaji tahap dan kehendak pengundi, cuba penuhi keperluan mereka. Begitu juga kerajaan pusat melalui kementerian berkaitan,” katanya.
Rosni menegaskan kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan teguran, khususnya daripada pengundi muda.
“Kalau ada yang tak cukup, suarakan. Kalau ada kehendak lain, suarakan dengan cara yang baik. Tugas kerajaan adalah membantu,” katanya.