KUALA LUMPUR, 16 Februari 2026 – Krisis dalaman parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia terus memuncak apabila sekumpulan pemimpin Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan hari ini mengumumkan peletakan jawatan secara sebulat suara daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman tersebut dibuat oleh mantan Ketua Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan, Datuk Simon Suresh V bersama barisan Ketua-Ketua Sayap Bersekutu Bahagian di Wilayah Persekutuan yang menyatakan pendirian tegas bahawa tindakan pemecatan Timbalan Presiden parti merupakan satu langkah yang tidak adil serta mencerminkan kegagalan pengurusan krisis dalaman oleh kepimpinan tertinggi parti.
Menurut kenyataan tersebut, mereka secara terbuka tidak bersetuju dengan cara Presiden parti, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Azmin Ali serta Pengerusi Lembaga Disiplin, Mohammed Radzi Manan dalam mengendalikan isu berkenaan.
Malah, tindakan memecat Timbalan Presiden serta mana-mana pimpinan yang menyatakan sokongan kepada beliau disifatkan sebagai bukti kelemahan kepimpinan dalam mengurus perbezaan pandangan di peringkat dalaman parti.
Kumpulan tersebut turut mendakwa tindakan berkenaan mencerminkan kepimpinan yang terdesak serta takut kehilangan sokongan akar umbi yang dilihat semakin memihak kepada Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainudin.
Sehubungan itu, mereka mengumumkan tiga keputusan utama iaitu:
Menyatakan sokongan penuh kepada Hamzah Zainudin;
Meletakkan jawatan daripada keanggotaan parti serta semua jawatan yang disandang berkuat kuasa serta-merta; dan
Membubarkan Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan secara rasmi.
Menurut mereka, keputusan tersebut dibuat secara kolektif tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak luar, sambil menegaskan bahawa perjuangan tidak boleh dikongkong oleh kepimpinan yang enggan menerima perubahan dalam landskap politik semasa.
Perkembangan terbaharu ini dijangka memberi kesan besar terhadap kestabilan dalaman parti menjelang landskap politik yang semakin mencabar ketika ini.
#PolitikMalaysia #AATVNews #BeritaTerkini #KrisisParti #BERSATU #MuhyiddinYassin #HamzahZainudin #AzminAli #SayapBersekutu #SuaraAkarUmbi