KUALA LUMPUR, 16 Februari 2026 – Gagasan “Rumah Besar Bangsa” dilihat bukan sekadar retorik politik, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak dalam usaha menyatukan orang Melayu di Malaysia demi menjamin kestabilan negara yang berterusan.

Mantan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta Mantan Exco Pemuda UMNO bagi sesi 2018 hingga 2022, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan sesebuah negara bermula daripada kesatuan bangsanya sendiri.

Menurut beliau, perpecahan dalam kalangan bangsa utama negara akan menyebabkan kelemahan dari sudut politik, ekonomi dan keselamatan, sekali gus membuka ruang kepada ketidakstabilan yang boleh menjejaskan masa depan negara.

“Seorang pemimpin yang bertanggungjawab perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan bangsa mengatasi kepentingan politik sempit.

“Mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini perlu dilihat sebagai tidak serius dalam memperjuangkan masa depan negara, malah berisiko melemahkan kekuatan politik orang Melayu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Hamzah Zainudin berhak dan wajar menjalin kerjasama dalam kerangka Rumah Besar Bangsa seperti yang telah disuarakan oleh pimpinan Parti Islam Se-Malaysia dan UMNO sebelum ini.

Katanya, kerjasama tersebut bukan berlandaskan kepentingan parti semata-mata, tetapi melibatkan soal kelangsungan kestabilan politik negara, kekuatan ekonomi serta keamanan dan perpaduan rakyat secara keseluruhan.

Tambah beliau lagi, mana-mana pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu dalam gagasan tersebut demi kestabilan negara sebenarnya menolak kepentingan bangsa sendiri.

“Golongan seperti ini tidak seharusnya diberi sokongan politik oleh rakyat, khususnya orang Melayu yang mahukan kepimpinan tegas, perpaduan kukuh dan masa depan negara yang stabil.

“Malaysia tidak memerlukan politik perpecahan. Malaysia memerlukan keberanian untuk perpaduan,” ujarnya.

#RumahBesarBangsa #PerpaduanMelayu #PolitikMalaysia #AACNews #MalaysiaStabil #KesatuanBangsa #Muqharabbin #HamzahZainudin #PAS #UMNO

Leave a Reply