SUBANG JAYA, 21 Februari 2026 – Yayasan PEKEMA terus memperkukuh komitmen kebajikannya apabila memperuntukkan lebih RM700,000 bagi menjayakan Program Shopping Raya 2026 khusus untuk anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara sempena persiapan Aidilfitri.
Inisiatif tahunan yang telah menjadi antara program kebajikan utama yayasan itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon melibatkan negeri-negeri termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Majlis pelancaran bagi Zon Tengah berlangsung meriah di Mydin Mall USJ hari ini dengan penyertaan lebih 500 anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz. Setiap penerima menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 bagi membolehkan mereka memilih sendiri kelengkapan Hari Raya seperti pakaian, kasut dan barangan keperluan lain.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin berkata, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan material, sebaliknya memberi peluang kepada anak-anak ini merasai pengalaman membeli-belah yang lebih bermakna.
“Kita bukan sekadar menghulurkan bantuan kewangan, tetapi mahu menghadirkan kegembiraan dan harapan supaya mereka turut merasai kemeriahan Syawal seperti insan lain.
Kebajikan adalah tanggungjawab bersama dan PEKEMA komited untuk terus memainkan peranan ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Antara institusi yang menerima manfaat termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Madrasah Quran Darussalam (MQDS) Banin, Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur serta anak-anak asnaf di Kampung Pendamar Klang, Selayang, Damansara dan Shah Alam.




Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Mydin Mohamed Holdings Berhad yang menyediakan lokasi serta sokongan logistik sepanjang sesi membeli-belah berlangsung.
Melalui pelaksanaan konsisten setiap tahun, Yayasan PEKEMA berharap lebih banyak pihak tampil menyokong usaha kebajikan seumpama ini agar golongan asnaf dan pelajar tahfiz tidak terpinggir daripada menikmati kemeriahan Aidilfitri.


#BeritaAATV #ShoppingRaya2026 #PEKEMA #YayasanPEKEMA #Asnaf #Tahfiz #MisiKebajikan #Syawal2026 #SenyumanAidilfitri #PrihatinRakyat