KUALA LUMPUR, 30 Mac 2026 – Gabungan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai segmen dalam ekosistem ekonomi gig menggesa kerajaan melaksanakan moratorium terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) sebelum ia dikuatkuasakan secara menyeluruh.
Gabungan itu menegaskan, langkah penangguhan sementara tersebut penting bagi membolehkan satu kajian lebih menyeluruh dilakukan demi memastikan akta berkenaan benar-benar praktikal, holistik dan tidak menjejaskan kelangsungan industri gig negara.
Antara NGO yang terlibat dalam pendirian bersama itu ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), LEAD Malaysia, PKEH, serta beberapa lagi pertubuhan dari Melaka, Kedah dan Perak.
Menurut gabungan itu, walaupun usaha kerajaan memperkenalkan rangka perundangan khusus untuk sektor ekonomi gig dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh perlindungan sosial dan tadbir urus industri, masih terdapat beberapa aspek penting yang memerlukan penelitian serta penambahbaikan sebelum pelaksanaan penuh dibuat.
Gabungan berkenaan berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah takrifan pekerja gig, khususnya apabila definisi dalam Seksyen 2 didakwa terlalu umum dan berpotensi membuka ruang kepada lambakan tenaga kerja, sekali gus memberi tekanan kepada kadar tambang serta pendapatan pekerja gig tempatan.
Mereka turut mendakwa wujud pertindihan dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), apabila akta sedia ada hanya membenarkan warganegara Malaysia menjadi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, sedangkan Akta 872 didakwa membuka ruang kepada pemastautin tetap untuk menyertai sektor berkenaan.
Selain itu, gabungan berkenaan turut mempersoalkan cadangan penubuhan Tribunal Pekerja Gig, yang disifatkan masih belum matang dari segi bidang kuasa, struktur serta prosedur pelaksanaannya.
Mereka berpandangan, ketiadaan SOP yang jelas boleh menyebabkan pelaksanaan tidak konsisten dan meningkatkan kos kepada pengadu, khususnya jika tribunal hanya diwujudkan di lokasi tertentu seperti Putrajaya.
Dalam masa sama, Majlis Perundingan Gig yang dicadangkan di bawah Seksyen 31 hingga 37 turut menjadi perhatian apabila gabungan berkenaan mendakwa majlis itu hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa keputusan yang mengikat. Mereka juga membangkitkan persoalan ketelusan dalam pelantikan ahli, selain kebimbangan terhadap ketiadaan jaminan keterwakilan sebenar pekerja gig dari pelbagai subsektor.
Gabungan itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap peruntukan berkaitan penyahaktifan akaun, yang menurut mereka boleh melambatkan tindakan terhadap kes serius melibatkan keselamatan pengguna. Mereka berpandangan, prosedur yang terlalu panjang dan birokratik tidak selari dengan sifat industri gig yang memerlukan tindakan pantas dan responsif.
Isu hak berpersatuan juga antara perkara yang dibangkitkan, apabila gabungan berkenaan mendakwa struktur representasi yang diwujudkan di bawah akta tersebut masih lemah dan tidak mempunyai kuasa rundingan kolektif yang setara dengan kesatuan sekerja di bawah undang-undang buruh sedia ada. MTUC turut memaklumkan bahawa isu itu akan dibawa ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) susulan dakwaan pelanggaran hak pekerja.
Pada masa sama, gabungan itu turut memberi amaran mengenai risiko pendedahan pekerja gig kepada cukai hasil proses pemformalan sektor berkenaan, walaupun akta itu tidak memperuntukkan secara khusus mengenai percukaian. Menurut mereka, keadaan itu boleh menambah beban kewangan kepada pekerja gig yang berpendapatan tidak tetap dan bergantung kepada permintaan harian.
Gabungan tersebut juga mempersoalkan proses libat urus yang didakwa masih berjalan walaupun akta berkenaan sudah diluluskan. Mereka mendakwa keadaan itu menimbulkan persoalan tentang ketelusan, keseriusan konsultasi, serta integriti proses penggubalan dasar, khususnya apabila dikaitkan dengan penglibatan entiti yang didakwa baru didaftarkan secara rasmi pada 2 Mac 2026.
Selain isu perundangan, mereka turut menyorot kenaikan premium insurans komersial dalam sektor e-hailing sebagai tekanan struktur yang semakin menghakis margin pendapatan pekerja gig. Menurut gabungan itu, kenaikan kos berkenaan bukan sahaja membebankan pekerja, malah berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tambang, sekali gus memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan mengemukakan empat tuntutan utama, iaitu melaksanakan moratorium terhadap Akta 872, menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox”, menjalankan penilaian impak menyeluruh melibatkan aspek ekonomi, sosial dan perundangan, serta memastikan sebarang pindaan dibuat berasaskan prinsip keadilan, keseimbangan pasaran dan kelestarian ekosistem gig.
Gabungan itu menegaskan bahawa cadangan moratorium tersebut bukan bertujuan menolak usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus bagi sektor gig, sebaliknya bagi memastikan akta yang bakal dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja, pengguna dan industri secara keseluruhan.
Mereka juga menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan MADANI dan semua pemegang taruh dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama.
#AktaPekerjaGig2025 #MoratoriumAkta872 #NasibPekerjaGig #EkonomiGigMalaysia #BeritaAAC