KUALA LUMPUR, 17Mac 2026 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan makanan di negara ini masih berada pada tahap stabil dan mencukupi, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik.
Menurut beliau, situasi semasa bekalan makanan termasuk ayam dan daging masih terkawal di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dan dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya hingga Mei atau Jun tahun ini.
“Semua macam biasa, jangan beli panik. Kalau dia nak beli empat ekor, biarlah empat ekor. Tak payahlah beli panik, bekalan mencukupi,” katanya ketika mengulas situasi semasa bekalan dan harga makanan.
Mohamad berkata, setakat ini harga bahan mentah utama masih berada pada paras biasa dan belum menunjukkan kenaikan mendadak kerana stok sedia ada merupakan bekalan yang telah disediakan lebih awal.
Menurutnya, sebarang kesan daripada faktor luar seperti kenaikan harga petrol atau kos logistik dijangka hanya akan mula dirasai dalam tempoh dua hingga empat bulan akan datang.
“Kesan itu mungkin datang di sudut harga barang. Bila harga petrol naik, kita akan lihat bagaimana. Tetapi buat masa ini, ayam harga lama, daging pun harga lama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa selepas mengambil kira pandangan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan sama, Mohamad memaklumkan bahawa jualan daging mantai akan diadakan di Stadium Shah Alam dengan tawaran harga RM25 sekilogram, melibatkan kira-kira 60 ekor lembu untuk jualan kepada orang ramai.
Mengulas langkah jangka panjang bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memperbesar sektor ternakan, memperkukuh kawasan sawah serta meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan rakyat yang mempunyai kawasan tanah di rumah supaya memanfaatkan ruang tersebut untuk menanam sayur-sayuran atau bahan makanan yang cepat dituai sebagai usaha sokongan di peringkat isi rumah.
Katanya, pendekatan itu bukan bersifat paksaan, sebaliknya galakan sukarela untuk kegunaan sendiri dan membantu jiran tetangga.
“Kalau ada depan rumah itu ada tanah, tanamlah apa-apa yang boleh cepat makan seperti kangkung atau bayam. Bukan paksa, ini sukarela,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut selari dengan semangat kempen Buku Hijau yang pernah diperkenalkan sebelum ini, khususnya bagi menggalakkan isi rumah yang mempunyai ruang sesuai untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan.
Mohamad menegaskan bahawa selain usaha kecil di rumah, fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan dasar makanan nasional terus diperkukuh demi menjamin sekuriti makanan negara dalam jangka panjang.
#MatSabu #BekalanMakanan #JanganBeliPanik #KeterjaminanMakanan #HargaAyam #HargaDaging #JualanMantai #SekuritiMakanan #PertanianMalaysia #BeritaAAC