KUALA LUMPUR, 8 September 2022 – Malaysia International HALAL Showcase (MIHAS) yang bermula pada 7 hingga 10 September 2022 berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Penyertaan Kementerian ke program ini bertujuan untuk meningkatkan potensi promosi dan pemasaran produk usahawan luar bandar dengan penglibatan lebih 500 pempamer dari lebih 40 negara. Pameran ini dijangka akan melibatkan lebih 17,000 pengunjung dari lebih 60 negara.
Penyertaan KPLB ke MIHAS 2022 adalah berdasarkan butiran seperti berikut:
i) Penyertaan adalah secara berfokus melalui program pemasaran sedia ada yang dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Desa iaitu Program Rural Business Outlet (RBO@KPLB) dan Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti iaitu Desamall@KPLB;
ii) Produk yang dipilih merupakan produk usahawan luar bandar yang telah mencapai tahap kapasiti produk yang bersesuaian untuk pasaran global; dan
iii) Usahawan yang berpotensi juga akan turut dijemput hadir untuk menghadiri pelbagai aktiviti seperti padanan perniagaan, perbincangan pakar industri dan persidangan yang akan dilaksanakan secara atas talian atau fizikal sepanjang program berlangsung.
Penyertaan secara berfokus menggunakan platform pemasaran sedia ada bertujuan untuk memberikan impak lebih besar dari segi penglibatan Kementerian dalam usaha mempromosikan produk-produk usahawan luar bandar yang bermutu tinggi.
Penyertaan sebegini juga menepati pendekatan ‘business to busines’ MIHAS di mana operator program sedia ada ini iaitu SD Impex Sdn Bhd dan Elokal Sdn. Bhd dapat membina jaringan perniagaan mereka dengan usahawan-usahawan lain serta trade buyers yang mewakili syarikat pemborong atau pengedar antarabangsa. Sehingga kini, maklumat usahawan di RBO@KPLB dan Desamall@KPLB adalah seperti berikut:
Bagi tujuan penyertaan ke MIHAS 2022, seramai 24 usahawan telah terpilih berdasarkan potensi produk mereka.
Selain itu, usahawan yang hadir berpeluang untuk mendapatkan pendedahan dari segi teknologi dan inovasi dalam bidang pengeluaran produk halal dan juga pelaksanaan perniagaan berasaskan perkhidmatan halal.
Pameran ini dibuka kepada pemain industri bermula pada 7 hingga 9 September 2022 dan akan dibuka kepada awam pada 10 September 2022. Waktu operasi MIHAS 2022 dijadualkan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam melibatkan pameran mengikut segmen oleh Kementerian dan pelbagai Agensi Kerajaan, selain daripada pemain industri dan badan korporat dari dalam dan luar negara.