KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyelar tindakan Ahli Parlimen PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang keluar Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), dengan menyifatkan alasan ketidakhadiran Perdana Menteri sebagai tidak munasabah.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan berkenaan disifatkan sebagai satu “sandiwara politik” memandangkan beberapa anggota kanan kerajaan dan menteri berkaitan hadir bagi menjawab isu yang dibangkitkan dalam perbahasan tersebut.
Menurut beliau, kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepatutnya mencukupi bagi kerajaan memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI Tabung Haji.
“Tindakan pembangkang meninggalkan dewan atas alasan Perdana Menteri tidak hadir adalah satu alasan yang sangat rapuh dan tidak boleh diterima.
“Berdasarkan sistem Parlimen dan konsep tanggungjawab kolektif Kabinet, kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri portfolio berkaitan sudah lebih daripada cukup untuk mewakili kerajaan dalam menjawab segala persoalan secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Zulkarnain turut membidas tindakan pihak pembangkang yang menurutnya terus membangkitkan pelbagai persoalan dan kritikan mengenai Tabung Haji melalui media sosial serta kenyataan media selepas meninggalkan Dewan.
Beliau mempersoalkan mengapa perkara berkenaan tidak dibahaskan secara terus dalam Dewan Rakyat supaya setiap hujah dan jawapan dapat direkodkan secara rasmi menerusi Hansard.
“Sekiranya mereka benar-benar mempunyai fakta yang kukuh dan ikhlas mahu membela nasib lebih 10 juta pendeposit, mengapa mereka perlu keluar dan enggan berhadapan dengan hujah kerajaan di dalam dewan?
“Segala persoalan sepatutnya diajukan, didebatkan dan direkodkan secara rasmi dalam Hansard Dewan Rakyat supaya rakyat dapat menilai, bukannya dijadikan modal politik di luar dewan atau hantaran media sosial semata-mata,” katanya.
Dalam nada lebih keras, Zulkarnain mendakwa tindakan walk out itu menunjukkan wakil pembangkang terbabit gagal menggunakan peluang yang tersedia untuk berbahas mengenai isu Tabung Haji dalam sidang Dewan Rakyat.
Beliau turut menyifatkan mereka sebagai “jaguh luar dewan” kerana lantang memberikan komen selepas meninggalkan persidangan tetapi tidak meneruskan perbahasan di dalam Dewan.
“Wang gaji dan elaun mereka dibayar setiap bulan menggunakan wang pembayar cukai untuk bekerja di dalam Parlimen, bukannya untuk membuat sidang media di lobi atau memuat naik video selepas meninggalkan dewan,” tegasnya.
G57 seterusnya mengambil pendirian keras dengan menggesa wakil rakyat yang terlibat mempertimbangkan kedudukan mereka sekiranya tidak bersedia melaksanakan tanggungjawab berbahas mengenai perkara yang melibatkan kepentingan pendeposit dan umat Islam.
Menurut Zulkarnain, Ahli Parlimen seharusnya menggunakan ruang perbahasan yang tersedia untuk mengemukakan fakta, mencabar penjelasan kerajaan serta mendapatkan jawapan secara terbuka demi membolehkan rakyat membuat penilaian berdasarkan rekod rasmi Parlimen.
#RCITabungHaji #TabungHaji #G57 #ParlimenMalaysia #PolitikMalaysia