
KUALA LUMPUR , 13 Ogos 2026 — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak agar tampil memberikan penjelasan rasmi serta memohon maaf secara terbuka ekoran kemelut pelaksanaan pasport sah laku 10 tahun yang disifatkan menyusahkan orang ramai dan mencetuskan pembaziran wang rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, pelaksanaan pasport berharga RM350 yang mula diperkenalkan pada Julai 2026 itu sarat dengan kelemahan teknikal sehingga mengundang pelbagai implikasi buruk, khususnya dalam urusan tempahan tiket penerbangan dan pendaftaran masuk (check-in) di luar negara.
Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Pengarah Imigresen yang didakwa cuba “menegak benang yang basah” apabila menyarankan pemegang pasport 10 tahun membeli tiket di kaunter fizikal bagi mengelakkan masalah sistem dalam talian.
“Saya tidak boleh terbayang dan terfikir bagaimana JIM boleh laksanakan pasport sah laku 10 tahun tanpa memikirkan kesan serta implikasinya. Paling mengecewakan, KP JIM menyuruh pemegang pasport membeli tiket di kaunter penerbangan kerana tempahan secara dalam talian mengundang masalah. Ini jelas menyusahkan rakyat,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tindakan JIM yang mengarahkan penarikan semula serta pemberhentian pengeluaran pasport 10 tahun itu berkuat kuasa serta-merta semalam, Gulam mempertanyakan sama ada kajian kebolehlaksanaan dan kajian impak telah dijalankan terlebih dahulu sebelum pasport berkenaan dilancarkan.
Menurutnya, pepatah “sudah terhantuk, baru tengadah” amat tepat menggambarkan kepincangan pentadbiran dalam isu ini yang akhirnya mengakibatkan kerugian kewangan serta bebanan emosi kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik sikap berdiam diri Menteri KDN berhubung isu berkenaan dan mendesak kepimpinan tertinggi kementerian tampil bertanggungjawab.
“KDN dan menterinya dilihat diam seribu bahasa. Seseorang yang bertaraf autoriti tinggi perlu tampil memohon maaf secara terbuka dan bertanggungjawab penuh atas kepincangan ini. Jangan sampai istilah ‘Madani’ bertukar menjadi ‘MAD Dah Ni’ di mata rakyat,” katanya lagi.
#Pasport10Tahun #ImigresenMalaysia #BeritaAATV #IsuRakyat #KDNMalaysia