
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Jenama fesyen couture tempatan, Anas Abdullah Kuala Lumpur, melancarkan secara rasmi acara Couture Wedding Charity Fashion Showcase – Anas Abdullah X RMHC Malaysia, sebuah platform yang menggabungkan kemewahan fesyen busana pengantin bersama misi kemanusiaan.
Acara berprestij bertemakan “Where Couture Meets Compassion” ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) serta mendapat sokongan daripada World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) selaku Rakan Strategik.
Bakal berlangsung pada 26 September 2026 (Sabtu) di Dewan Tun Dr. Ismail, WTCKL, pertunjukan ini memfokuskan sokongan moral dan kewangan kepada kanak-kanak berkeperluan khas serta pesakit pediatrik di bawah naungan RMHC Malaysia.
Keunikan utama acara ini menyaksikan kanak-kanak istimewa—termasuk pesakit pediatrik, anak-anak Sindrom Down, pejuang kanser, serta kanak-kanak sumbing bibir dan lelangit—memperagakan busana couture di atas pentas peragaan.
Momen penuh emosi itu akan turut disiarkan bersama penampilan barisan selebriti tanah air seperti Aleeza Kassim, Nor Albaniah, dan Mare Sadlique yang berjalan beriringan dengan anak-anak berkenaan sebagai simbolik kasih sayang serta sokongan inklusif.
Selain memberi dorongan keyakinan diri kepada anak-anak istimewa ini, inisiatif berkenaan turut bermatlamat mengumpul dana bagi menyokong program kebajikan RMHC Malaysia, terutamanya penambahbaikan fasiliti Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM.
Melalui sinergi kreativiti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, pihak penganjur berharap dapat meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penglibatan sektor korporat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
#AnasAbdullahXRMHC #CoutureMeetsCompassion #RMHCMalaysia #FesyenAmal2026 #BeritaAATV