KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2026 – Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada sebarang perkara yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan rakyat, khususnya 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah menyahklasifikasikan laporan berkenaan untuk dibentangkan secara terbuka serta dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan ketelusan yang tinggi dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.
Beliau menekankan bahawa RCI merupakan mekanisme khas bawah undang-undang negara dan perbahasan laporan itu harus diteliti secara objektif berasaskan fakta, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik jangka pendek.
”Perbahasan mengesahkan skop RCI memfokuskan tempoh 2014 hingga 2020 sahaja. Wajar untuk kajian menyeluruh dibuat mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus TH, termasuk perkembangan selepas 2020 seperti peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Mengulas mengenai cadangan awal pendedahan laporan berkenaan, Dr. Zambry mengingatkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejak dari awal lagi menyokong penuh agar laporan RCI dibuka dan dibahaskan secara khas di Parlimen.
Tambah beliau, dapatan RCI berkaitan tadbir urus, struktur kuasa, dan pemisahan fungsi perlu dijadikan asas kukuh untuk melaksanakan transformasi serta penambahbaikan institusi TH secara konsisten.
”Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan, ia adalah institusi umat Islam yang memegang amanah besar pengurusan simpanan, pelaburan, dan ibadah haji. Kepentingan pendeposit mesti mengatasi sebarang kepentingan politik.
”Semua pihak digesa elak daripada membuat tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai, serta naratif berasas yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit,” tegasnya.
Beliau menambah, memandangkan ketelusan telah dilaksanakan dan perbahasan telah berlangsung di Parlimen, fokus utama selepas ini adalah memastikan tadbir urus TH terus diperkukuh, syor penambahbaikan dilaksanakan fully, dan keyakinan umat Islam terhadap TH kekal terpelihara.
#BeritaAATV #RCITabungHaji #TabungHaji #BarisanNasional #DemiPendepositTH