
KUALA LUMPUR – Seorang subkontraktor pembinaan kini berada dalam keadaan terhimpit dan menanggung beban hutang yang besar selepas bayaran kerja-kerja pembinaan sebuah masjid di USJ 18 bernilai hampir RM800,000 didakwa masih belum dilunaskan oleh kontraktor utama.
Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas dalam satu sidang media bersama mangsa, Selvakumar Perumalsamy, tampil membuat rayuan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang dialami mangsa.
Menurut Ridzuan, pihak mahkamah sebelum ini telah pun memutuskan kemenangan berpihak kepada Selvakumar berhubung tuntutan hampir RM800,000 itu. Namun sehingga kini, kontraktor utama terbabit enggan membuat bayaran dan dilaporkan gagal dikesan.
”Sebagai seorang Muslim, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini. Kita tidak mahu tempat ibadah seperti masjid terpalit dengan isu hutang yang tidak dibayar kepada kontraktor yang telah menyiapkan sebahagian struktur masjid, parit dan kawasan parkir,” tegas Ridzuan.
Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mengumpul bukti dan dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh diambil terhadap pihak yang terlibat.
Sementara itu, Selvakumar meluahkan rasa tertekan akibat disaman oleh pembekal bahan binaan ekoran kegagalan membayar hutang material, selain wang simpanannya melebihi RM600,000 yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak habis digunakan untuk projek tersebut.
Setakat ini, beliau baru menerima sumbangan kira-kira RM3,500 daripada orang awam dan ahli keluarga terdekat.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban kemelut hutang yang dihadapi, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun berikut:

Bank: Bank Islam
Nombor Akaun: 12065020527890
Penama: Selvakumar Perumalsamy
#BeritaAAC #KeadilanKontraktor #IsuMasjidUSJ18 #BantuSelvakumar #TrendingMalaysia