KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2026 – Masa depan Kerajaan Perpaduan kini berdepan detik penentu apabila lebih 4,200 perwakilan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersidang hari ini bagi memutuskan sama ada mahu terus ‘kekal’ atau ‘keluar’ daripada pentadbiran Madani.
Mengulas perkembangan tersebut, Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyifatkan situasi berkenaan ibarat ‘gergaji dua mata’ yang bakal memberi impak besar terhadap landskap politik negara, khususnya kedudukan Perdana Menteri.
Menurut beliau, apa jua ketetapan yang bakal dicapai oleh DAP berisiko meletakkan Perdana Menteri ke-10 (PMX) sebagai ‘mangsa tebusan politik’.
Jelasnya, DAP berkemungkinan besar akan memanfaatkan sepenuhnya pengaruh 40 kerusi Parlimen yang dimilikinya untuk mendesak pelaksanaan beberapa agenda utama parti berkenaan.
Antara tuntutan yang dibangkitkan termasuklah Akta Pembaharuan Bandar (URA), pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara demokrasi, serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai syarat sokongan berterusan kepada kepimpinan negara.
Tambah Gulam, usul yang dibawa DAP hari ini dilihat sebagai langkah taktikal yang bijak dan tepat pada masanya ketika kedudukan politik PMX dilihat semakin rapuh serta kehilangan banyak pengaruh sokongan di dalam dan luar parti.
”Mati atau hidup politiknya, DAP adalah satu-satunya ‘harapan’ beliau pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berpandangan jalan terbaik bagi mengelakkan diri daripada terus ditekan atau menjadi tebusan politik adalah dengan membubarkan Parlimen sejurus selesai Kongres PKR dan persidangan DAP minggu ini.
Tegas beliau, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen berada sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Gulam menegaskan bahawa UMNO akan terus mengambil pendekatan sabar dan kekal komited menyokong Kerajaan Madani sebagaimana pendirian yang ditegaskan oleh Presiden parti.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #KerajaanMadani #KongresDAP #BubarParlimen