
KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyambut baik dan menyifatkan keputusan Kerajaan untuk memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai satu ketetapan tepat yang telah lama tertangguh.
Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, pemansuhan akta tersebut merupakan satu bentuk pengiktirafan dan anugerah besar terhadap kebebasan mahasiswa di menara gading.
Menurut beliau, usaha mendesak pemansuhan AUKU telah diperjuangkannya sejak sekian lama, termasuk semasa berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat pada penggal 1986, 1990, dan 2008 seperti yang tercatat dalam Hansard Parlimen.
Mengimbau kembali sejarah, Dr. Ibrahim menjelaskan bahawa AUKU diperkenalkan rentetan kebangkitan demonstrasi Isu Baling pada Disember 1974 serta tunjuk perasaan menuntut taraf universiti bagi Institut Teknologi Mara (ITM) pada April tahun yang sama.
Peristiwa tersebut membawa kepada penahanan 11 pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dirinya dan Perdana Menteri kini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Selepas 60 hari disoal siasat, sembilan orang dibebaskan manakala saya dan Dato’ Seri Anwar ditahan di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun sehingga Disember 1976.
“Saya turut menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda tahun akhir di Blok Tahanan No. 8. Dengan pemansuhan AUKU ini, lepaslah ‘hutang’ DSAI kepada perjuangan idealisme gerakan mahasiswa era 70-an,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambah beliau, sebelum pengenalan AUKU, gerakan mahasiswa menikmati autonomi penuh di mana dana persatuan diuruskan sendiri tanpa campur tangan pihak universiti, selain bebas menganjurkan sudut pidato (Speaker’s Corner) yang memupuk daya kepimpinan berani dan berjati diri tinggi.
Namun begitu, beliau mengingatkan barisan kepimpinan mahasiswa masa kini agar menggunakan kebebasan tersebut dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab.
“Pimpinan mahasiswa mestilah benar-benar bertanggungjawab, membuat keputusan secara konsensus dan tidak membenarkan persatuan diperalatkan oleh mana-mana parti politik atau pihak luar seperti era kegemilangan terdahulu.
“Tahniah kepada seluruh warga mahasiswa dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keputusan bersejarah ini. Perkara yang baik dan keputusan yang betul wajar kita hargai,” ujar beliau.
#MansuhAUKU #SuaraMahasiswa #IbrahimAli #PMXAnwarIbrahim #BeritaAAC