KUALA LUMPUR – Serangan bertubi-tubi terhadap UMNO sepanjang Kongres Nasional PKR disifatkan sekadar “gimik politik” semata-mata apabila kepimpinan parti berkenaan akhirnya tetap memilih untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, suasana perbahasan di MITC Melaka yang hangat dengan pelbagai gelaran dilemparkan kepada UMNO—termasuk “talam dua muka”, “kawan tikam belakang”, dan “parti sakau”—tidak membawa sebarang perubahan dasar terhadap kedudukan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, jangkaan awal bahawa Presiden PKR akan menyingkirkan barisan Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN ternyata meleset sama sekali.
”Mana nak letak muka pembahas-pembahas yang inginkan PKR putuskan hubungan dengan UMNO apabila Presiden PKR sendiri masih mahukan UMNO dan BN bersama dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gulam menjelaskan situasi sama turut berlaku di kem DAP, apabila perwakilan parti itu tetap bergantung kepada kekuatan kerusi BN bagi memastikan kestabilan kerajaan agar tidak tumbang.
Tegasnya, UMNO memilih untuk tidak melatah sepanjang tempoh persidangan kedua-dua parti tersebut berlangsung, sekaligus membuktikan kedudukan strategik parti itu yang masih menjadi penentu kuasa.
”UMNO pihak yang dituduh, diam dan tidak membela diri… akhirnya mereka termakan ayat-ayat nista sendiri apabila tetap mahukan UMNO kekal. UMNO menang tanpa perlu berpeluh atau berpencak di gelanggang politik,” tambah beliau lagi sambil memetik pesanan Presiden UMNO bahawa pendekatan tenang parti itu membuktikan prinsip “diam itu emas, bertindak itu berlian.”
#PolitikMalaysia #KerajaanMadani #KongresPKR #UMNO #BeritaAAC