
SELAYANG, 15 Ogos 2026 – Seorang warga emas, Tee Guat Eng, yang memperjuangkan hak pemilikan tanah serta pampasan sejak tahun 1998, bakal mengambil tindakan undang-undang menerusi khidmat peguam bagi menuntut pembelaan sewajarnya.
Aktivis Masyarakat, Ridzuan Ikhlas, yang mewakili warga emas berkenaan berkata, pihaknya akan meneliti dokumen berkaitan termasuk geran lama bagi merangka tindakan susulan terhadap pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut Ridzuan, rumah papan milik wanita itu yang dibina sejak awal 1980-an di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah dirobohkan pada 1998 tanpa sebarang pampasan, meskipun bayaran hasil tanah telah dijelaskan secara berkala.
”Isu ini sudah berlarutan selama 28 tahun. Mangsa mendakwa telah membelanjakan sejumlah wang kepada pihak tertentu yang berjanji untuk membantu mengekalkan tapak berkenaan, namun akhirnya rumah tersebut tetap dirobohkan.
”Beliau kini terpaksa menumpang di rumah anaknya. Apa yang menimbulkan persoalan adalah mengapa lot bersebelahan di atas rizab yang sama dibenarkan membina rumah, sedangkan hak beliau dinafikan,” katanya dalam satu sidang media.
Sementara itu, Tee Guat Eng meluahkan rasa terkilan atas nasib yang menimpanya setelah puluhan tahun bekerja keras menyara sembilan anak sambil berusaha mendapatkan hak milik tanah tersebut.
”Saya bayar apa yang disuruh, ukur tanah pun sudah dibuat. Tetapi bila rumah dirobohkan, saya tidak dapat satu sen pun pampasan. Saya hanya mahu hak saya dikembalikan,” luah beliau.
Ridzuan menegaskan bahawa wakil rakyat kawasan dan pihak berkuasa negeri perlu memandang serius perkara ini dan tidak lepas tangan terhadap ketidakadilan yang menimpa rakyat marhaen.
#BeritaAAC #KeadilanRakyat #IsuTanahSelayang #RidzuanIkhlas #BelaWargaEmas