
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kegiatan sebuah syarikat renovasi rumah di bawah jenayah komersial dan bukan sekadar mengklasifikasikannya sebagai pertikaian sivil.
Desakan tersebut dibuat susulan seramai 18 mangsa tampil mendedahkan kerugian mencecah hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket terbabit yang berselindung di sebalik dokumen perjanjian sah dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta CIDB.
Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya memandang serius penipuan ini dan akan mengadakan pertemuan khas bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi menyerahkan bukti berkaitan.
”Kita tidak mahu masyarakat terus menjadi mangsa penipuan sebegini. Walaupun ada kontrak, sekiranya niat asalnya adalah untuk memperdaya dan mengaut wang tanpa melaksanakan kerja, itu adalah jenayah. Pihak polis perlu mematuhi perintah Mahkamah Majistret bertarikh 15 Mei 2026 untuk menyiasat kes ini secara menyeluruh,” tegas beliau dalam sidang media di Cheras, hari ini.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Muhammad Ade Hazwan Mohd Sidek yang menanggung kerugian lebih RM100,000 mendedahkan sindiket berkenaan menggunakan taktik ‘Mirroring and Blocking Transparency’.
Modus operandi tersebut memperdaya pelanggan dengan draf perjanjian profesional, jaminan pulangan wang palsu, serta perkongsian gambar bahan binaan yang direka sebelum menuntut bayaran pendahuluan sehingga 95 peratus.
”Selepas bayaran penuh atau sebahagian besar dibuat, kontraktor gagal menyiapkan kerja, menyekat komunikasi, malah ada mangsa diugut secara lisan apabila cuba menuntut hak mereka di balai polis,” katanya.
Siasatan mangsa mendapati sindiket yang diterajui pasangan suami isteri itu turut bertindak menukar nama entiti perniagaan daripada Bajet Global Sdn Bhd kepada Kilang Kabinet BG dan Dekorasi Kabinet Kekayu bagi mengaburi pihak berkuasa serta terus memerangkap mangsa baharu.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan turut menyeru masyarakat agar bersatu menentang penipuan kontraktor dan tidak berdiam diri, sambil menegaskan undang-undang ketat perlu dikuatkuasakan agar Malaysia tidak dijadikan ‘syurga’ oleh penjenayah penipuan komersial.
#ScamRenovasi #PDRM #PPIM #MusaHassan #BeritaAAC