KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 — Keputusan Kongres DAP baru-baru ini yang meluluskan usul untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai undi yang “kurang sifat, cacat serta tidak mempunyai kredibiliti dan keabsahan sebenar.”
Kritikan keras itu disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, yang mendedahkan bahawa angka sebenar sokongan akar umbi DAP terhadap usul berkenaan jauh lebih rendah berbanding dakwaan 88.47 peratus yang diuar-uarkan.
Menurut beliau, berdasarkan jumlah perwakilan yang layak, seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan seluruh negara sepatutnya hadir bagi membuat penentuan hala tuju parti sama ada kekal atau keluar daripada kerajaan.
”Bagaimanapun, kehadiran rasmi hanya mencatatkan 2,223 perwakilan iaitu sekitar 52.1 peratus sahaja. Ini bermakna seramai 2,041 perwakilan langsung tidak hadir dan tidak membuat sebarang ketetapan.
”Daripada 2,223 yang hadir pula, hanya 2,106 perwakilan yang mengundi, manakala 117 orang memilih untuk tidak mengundi. Daripada jumlah yang mengundi itu, sebanyak 242 perwakilan menolak usul, 7 undi rosak, dan hanya 1,857 perwakilan yang bersetuju untuk kekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gulam menjelaskan, apabila dikira secara menyeluruh meliputi ketidakhadiran (2,041), enggan mengundi (117), undi menolak (242), dan undi rosak (7), ia membentuk angka besar seramai 2,407 perwakilan yang tidak menyatakan sokongan kepada usul terbabit.
”Ini membuktikan hanya 43.55 peratus daripada keseluruhan perwakilan sah yang benar-benar bersetuju, bukannya 88.47 peratus seperti yang digembar-gemburkan kononnya menggambarkan hasrat sebenar akar umbi DAP.
”Beginilah cara DAP mahu menghalalkan, menjustifikasikan dan menyedapkan diri kononnya usul mereka disambut baik,” bidas beliau.
Tambah beliau lagi, angka penolakan dan ketidakhadiran yang tinggi ini turut menjelaskan trend kemerosotan sokongan pengundi Cina yang ketara dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
”Seramai 2,407 perwakilan yang tidak hadir, tidak mengundi, menolak dan undi rosak ini adalah jawapan sebenar mengenai ke mana hala tuju DAP.
”Patutlah mereka tewas di PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini kerana peratusan pengundi Cina menurun secara drastik. Itu hakikat dan justifikasi sebenar,” tegasnya.
#BeritaAAC #KongresDAP #PolitikMalaysia #KerajaanMadani #GulamMuszaffar