
PUTRAJAYA, 17 Ogos 2026 — Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa kerajaan agar menangguhkan segera arahan pemprosesan kemasukan 15,000 pekerja asing baharu ke dalam negara.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) yang sudah lama menetap di negara ini untuk mengisi kekosongan tenaga kerja, khususnya dalam sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult).
Bercakap dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya, beliau menegaskan bahawa membawa masuk pekerja asing baharu bukan sahaja tidak efektif, malah berisiko mengakibatkan pengaliran keluar wang tunai negara dalam jumlah yang besar.
”Sekiranya kita terus membawa pekerja dari luar, bilion ringgit akan mengalir keluar setiap tahun. Sebaliknya, jika kita memanfaatkan golongan stateless tempatan, wang gaji mereka akan dibelanjakan di dalam negara seperti di Lahad Datu, Tawau, Klang, dan kawasan lain,” jelas beliau.
Hishamuddin turut menegaskan bahawa gesaan tersebut bukanlah tuntutan untuk memberikan status warganegara penuh (kad pengenalan biru) kepada golongan berkenaan, sebaliknya hanya memohon pindaan kecil dalam peraturan pentadbiran bagi menyediakan dokumen pengenalan diri atau identiti asas (seperti MyKAS) secara terkawal dan tersaring.
Turut hadir memberikan sokongan dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Negeri Sabah, Tuan Haji Juanis; peguam MHO, Puan Eva; serta aktivis sosial, Encik Kiramjit.
Puan Eva dalam kenyataannya menambah, isu ini wajar dilihat menerusi lensa kemanusiaan dan ekonomi, bukannya dipolitikkan atau dilihat sebagai isu perkauman. Memberikan identiti asas yang sah bukan sahaja membela nasib generasi yang telah lahir di Malaysia, malah membuka ruang akses kepada pendidikan dan pekerjaan yang lebih bermaruah sekali gus menyumbang kembali kepada ekonomi tempatan.
#BeritaAAC #MHO #IsuStateless #PekerjaAsing #Kemanusiaan