
KOTA KINABALU, 17 Ogos 2026 – Tindakan segelintir blok politik yang melompat parti atau menarik sokongan disifatkan sebagai usaha terdesak bagi menutup kegagalan mutlak serta penolakan total rakyat terhadap mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang lalu.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan senario politik semasa jelas membongkar semula agenda tersirat penubuhan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai ‘parti serpihan’ Parti Warisan (WARISAN).
Menurutnya, KDM sejak awal digerakkan semata-mata untuk memancing sokongan masyarakat Bumiputera KDM selepas kumpulan berkenaan menolak kepimpinan WARISAN.
”Data rasmi keputusan pilihan raya negeri dengan jelas membuktikan bahawa cubaan parti-parti ini untuk mendominasi politik Sabah telah dihukum sepenuhnya oleh pengundi di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, pada PRN17 lalu, KDM meletakkan calon secara agresif di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, namun menerima tamparan hebat apabila hanya mampu meraih satu kerusi iaitu di DUN Paginatan menerusi Datuk Rusdin Riman.
Malah katanya, simbol keruntuhan pengaruh KDM terbukti apabila Pemangku Presiden KDM sendiri, Priscella Peter, tumpas dalam saingan merebut mandat rakyat.
”Kegagalan ketua utama parti mengekalkan kemenangan adalah bukti moral bahawa parti ini sudah ditolak sepenuhnya oleh pengundi,” tegas beliau.
Zulkarnain menambah, senario sama turut menimpa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) yang meletakkan calon di 46 kerusi DUN, namun mengalami kekalahan besar dan sekadar mempertahankan dua kerusi sahaja iaitu di DUN Tambunan dan DUN Bingkor.
Justeru, beliau menyifatkan sebarang cubaan KDM untuk mengadakan perbincangan atau gerakan luar kerajaan bersama pakatan lama hanyalah langkah terdesak bagi mencari ‘talian hayat’ politik baharu pasca-kekalahan mereka.
G57 turut mengingatkan rakyat bahawa asas penubuhan KDM tidak lari daripada pengaruh pengasasnya, Peter Anthony—orang kanan kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal—yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah di mahkamah.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata berbanding rekod parti-parti serpihan tersebut, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terus membuktikan keupayaan dan menerima mandat kukuh rakyat sebagai blok yang menjamin kestabilan dan pembangunan inklusif negeri.
”Rakyat Sabah sudah memberikan keputusan yang sangat jelas dalam PRN17. Walaupun masih ada ruang penambahbaikan, namun dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, tiga isu kritikal iaitu air, krisis bekalan elektrik, dan infrastruktur jalan raya diyakini mampu dinoktahkan sepenuhnya di bawah pentadbiran GRS,” katanya.
#PolitikSabah #PRU16 #BeritaAAC #G57 #SabahMajuJaya