
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil memberi kata dua selama tujuh hari kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kerajaan Negeri Selangor untuk menghentikan sebarang pembinaan struktur di atas tapak padang sekolah Tamil.
Aktivis Sosial, Dato’ Dr Kalaivanar berkata, tindakan meneruskan pembinaan di atas padang sekolah bukan sahaja menafikan hak asas murid-murid dalam pendidikan jasmani dan sukan, malah membelakangkan bantahan rasmi daripada pihak ibu bapa.
Beliau menyuarakan kekecewaan terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang didakwa tidak peka terhadap punca sebenar kemerosotan jumlah enrolmen di 365 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.
Menurutnya, ibu bapa berhak menuntut kemudahan sukan yang sempurna untuk anak-anak mereka dan tindakan mengecilkan kawasan padang adalah langkah mundur yang menindas perkembangan fizikal murid.
Dalam sidang media sama, Dr Kalaivanar turut menyelar sikap EXCO Hal Ehwal Masyarakat India Selangor yang didakwa sekadar menghantar surat tanpa ketegasan dan komitmen mempertahankan kawasan padang berkenaan daripada ditutup dengan struktur baharu.
”Jika takut atau malu untuk mempertahankan suara masyarakat, letak sahaja jawatan dan beri laluan kepada individu yang mampu bekerja,” tegas beliau.
Pihaknya bersama barisan ibu bapa dan aktivis menuntut agar:
Segala kerja pembinaan di atas padang sekolah dihentikan serta-merta dalam tempoh tujuh hari.
KPM dan Kerajaan Negeri Selangor mendengar suara komuniti setempat secara telus dan bertanggungjawab.
Kerajaan menyelesaikan isu infrastruktur sekolah tanpa mengorbankan ruang aktiviti kokurikulum murid.
Beliau menegaskan, sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan, kumpulan ibu bapa dan aktivis tidak akan teragak-agak untuk berarak secara beramai-ramai ke Parlimen bagi menyatakan bantahan secara terbuka.
#BeritaAAC #IsuSekolahTamil #SelamatkanPadangSekolah #KPM #FadhlinaSidek