
RAWANG, 19 Ogos 2026 – Aktivis sosial terkenal daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar hari ini mengesahkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Menerusi satu sidang media di sini, Dr Kalaivanar menegaskan keputusannya itu didorong atas prinsip memartabatkan perjuangan ikhlas demi masyarakat marhaen, bukannya politik sogokan material.
”Saya tak boleh bagi hamper, saya tak boleh bagi beras, saya tak boleh bagi gula… ini semua penipuan saya tak boleh jalankan. Takkan bagi satu kali itu boleh hidup lima tahun? Kita memayung martabat dan perjuangan kita ikhlas,” tegas beliau.
Menurutnya, walaupun belum memegang sebarang jawatan rasmi sebagai Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau telah banyak menyelesaikan pelbagai isu rakyat termasuk aduan penindasan tanah dan masalah pemilikan hartanah. Beliau turut berikrar untuk melindungi pemilik kediaman di Kota Raja daripada isu lelongan bank sekiranya diberi mandat.
Bagi mendekati pengundi, Dr Kalaivanar memaklumkan pihaknya telah mula turun padang sejak seminggu lalu bermula dari Kota Kemuning. Kempen beliau digerakkan melalui edaran risalah borang aduan dari rumah ke rumah secara terus kepada warga setempat.
”Kami akan datang serah satu per satu rumah. Di sana ada nombor WhatsApp, hantar aduan anda dan saya sendiri akan turun menyelesaikan walaupun sekarang saya tidak ada satu sen pun peruntukan kerajaan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru para pengundi di Kota Raja dan DUN Sentosa agar memilih calon berdasarkan rekod kerja sebenar dan bukan semata-mata berpandukan lambang parti politik.
#BeritaAAC #DrKalaivanar #KotaRaja #DUNSentosa #PRU16