
RAWANG, 19 Ogos 2026 – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bekas Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), serta komuniti setempat menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerja-kerja pembinaan blok bangunan baharu yang didakwa menceroboh kawasan padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang.
Menerusi satu sidang media yang diadakan di hadapan sekolah berkenaan, Datuk Sri Balakrishnan Appalanaidu menegaskan bahawa pihak komuniti bukan menolak pembangunan enam bilik darjah dua tingkat tersebut, sebaliknya menuntut agar ruang padang sedia ada dipertahankan untuk aktiviti sukan dan riadah murid.
Menurut beliau, pemasangan pagar penghadang (hoarding) dan kehadiran jentera di atas padang telah dimulakan tanpa pembentangan pelan susun atur yang jelas kepada pihak berkepentingan, walaupun perbincangan awal bersama EXCO Kerajaan Negeri Selangor telah berlangsung sebelum ini.
Pihak komuniti mencadangkan agar struktur bangunan lama yang tidak mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) dirobohkan terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada pembinaan blok baharu tersebut. Kos kerja-kerja meroboh bangunan lama itu turut ditawarkan untuk ditanggung sendiri oleh pihak NGO dan bekas pengurusan sekolah tanpa membebankan peruntukan kerajaan.
Sehubungan itu, mereka menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kerajaan Perpaduan untuk turun padang mendengar keluhan akar umbi dan menyelesaikan pertikaian lokasi pembinaan ini secara tuntas demi kebajikan masa depan murid.
#BeritaAAC #SJKTRawang #IsuPendidikan #SelamatkanPadangSekolah #KPM