
KUALA LUMPUR – Isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) serta Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilihat sengaja dijadikan modal politik dan bahan serangan bagi memburukkan imej UMNO serta Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa sehingga ke hari ini, tiada seorang pun pemimpin UMNO atau BN yang didakwa mahupun disabitkan dengan sebarang kesalahan pecah amanah berhubung isu institusi berkenaan.
Menurut beliau, siri serangan terhadap agensi-agensi yang dahulunya diterajui BN seperti TH, FELDA, FELCRA, dan MARA adalah langkah yang sudah dijangka bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kepincangan pentadbiran semasa.
“Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan, laporan RCI sendiri tidak membuktikan wujudnya salah guna kuasa atau rasuah di pihak BN.
“Sebaliknya, naratif ‘sakau’ terus dimainkan sedangkan persoalan sebenar mengenai penjualan aset-aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dan penjualan anak syarikat seperti Theta Edge masih belum terjawab secara telus,” katanya dalam satu sesi temubual ‘Sembang Kopi’.
Mengulas lanjut, Dato’ Razak turut mempersoalkan ketidakhadiran Perdana Menteri (PMX) semasa sesi perbahasan RCI TH di Parlimen sebelum ini, selain mendakwa ada percubaan untuk mengitar semula isu lama bagi menutup isu-isu lain seperti isu berkaitan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Beliau menyeru kepimpinan UMNO agar terus bersiap sedia menangkis tohmahan politik berterusan dan yakin bahawa rakyat kini semakin celik dalam menilai fakta sebenar berbanding persepsi.
#BeritaAAC #TabungHaji #PolitikMalaysia #UMNOBangkit #IsuSemasa