
KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – MELILEA (M) Sdn. Bhd. melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharunya, BINTANG SUARA MELILEA 2026, sebuah program pencarian bakat menyeluruh yang membuka ruang pembangunan potensi serta laluan kerjaya kepada generasi muda di seluruh negara.
Membawakan tema “IMPIAN ANDA · SUARA ANDA · MASA DEPAN ANDA”, program ini dirangka untuk melangkaui format pertandingan biasa. Ia memfokuskan kepada pembentukan keyakinan, disiplin, integriti serta bimbingan industri secara berstruktur, selaras dengan falsafah teras syarikat iaitu “Transforming Lives”.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International, Datuk Prof. Dr. Alan Wong menegaskan bahawa sokongan korporat terhadap bakat muda merupakan pelaburan strategik demi masa depan komuniti.
“Perniagaan bukan sekadar meraih keuntungan, sebaliknya bagaimana kita dapat memberi nilai dan membuka peluang untuk mentransformasi kehidupan seseorang. Setiap bakat mempunyai nilai tersendiri, namun ia perlu dibangunkan menerusi disiplin, usaha berterusan dan bimbingan yang tepat,” jelas Datuk Prof. Dr. Alan Wong.
Bagi memastikan kualiti dan hala tuju profesional para peserta, inisiatif ini menjalin kolaborasi strategik bersama:
SWYM Entertainment Group: Diterajui oleh pengurus bakat berpengalaman, Ong Peng Chu—tokoh industri yang bertanggungjawab melonjakkan nama artis tempatan seperti Shila Amzah dan Jeryl Lee Pei Ling ke persada hiburan China.

Neo Gendang Studio: Diterajui oleh komposer terkemuka dan gitaris kumpulan Wings, Edrie Hashim, bagi penyediaan ekosistem bimbingan muzik yang tersusun.

Ong Peng Chu, yang turut bertindak sebagai penganjur bersama dan juri, menyeru anak muda agar merebut peluang keemasan ini untuk tampil ke hadapan. Selain hadiah wang tunai dan produk kesihatan, peserta terpilih bakal menerima pendedahan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran ini turut diharap dapat memupuk generasi muda yang kreatif, berdaya tahan dan berintegriti tinggi selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.
#BintangSuaraMELILEA2026 #TransformingLives #BakatMudaMalaysia #BeritaAAC #PencarianBakat2026