KUALA LUMPUR, 12 September 2026 – Barisan kepimpinan dan akar umbi UMNO digesa mengetepikan segala pertelingkahan dalaman serta merapatkan saf demi matlamat utama merampas kembali pentadbiran Putrajaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, YB Datuk Pandak Ahmad berkata, ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini jelas menunjukkan ketelusan dan keberanian luar biasa dalam memacu hala tuju parti.
Menurut beliau, ketetapan itu menuntut seluruh jentera di peringkat bahagian serta cawangan untuk segera turun ke lapangan bagi memulihkan perpaduan sesama ummah, sekali gus melupakan sengketa lama.
”Hari ini saya melihat keberanian dan ketelusan Presiden untuk memastikan bahawa kita melampas (merampas) balik Putrajaya.
”Yang penting kita melupakan titik bengik (remeh-temeh) di peringkat bawah dan turun ke lapangan melalui bahagian serta cawangan untuk menyatupadukan kembali ummah,” katanya ketika ditemui Berita AAC selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau yakin ‘Gelombang Biru’ mampu mencipta kejayaan lebih cemerlang sekiranya gabungan parti Melayu direalisasikan secara kukuh.
Datuk Pandak menjelaskan bahawa gandingan bersama PAS serta parti Melayu lain berpotensi menjadi satu kuasa politik besar yang mampu memberi kelebihan mutlak di negeri bersejarah tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan agar agenda penyatuan ini berlaku secara jujur dan tidak sekadar retorik di meja rundingan semata-mata.
”Kita kena serius. Kita tidak mahu hari ini cakap lain, esok cakap lain. Rundingan di meja bulat lain, kemudian diterjemahkan di peringkat akar umbi pula lain,” tegas beliau.
Mengambil iktibar daripada beberapa model kerjasama terdahulu, beliau berharap formula situasi menang-menang (win-win situation) dapat dicapai tanpa mengorbankan maruah parti, sambil menambah bahawa UMNO “tidak rela dipatuk ular dua kali”.
#BeritaAAC #DatukPandakAhmad #PenyatuanMelayu #GelombangBiru #PolitikMalaysia