KUALA LUMPUR, 12 September 2026 – Sentimen akar umbi terhadap hala tuju pentadbiran negara terus bergolak apabila nama dan penjenamaan “Madani” kini secara terbuka ditolak serta didesak supaya digugurkan serta-merta daripada terus dikaitkan dengan kerajaan hari ini.
Menerusi satu sesi temubual Sembang Kopi, Dr Azam Rauzan bersama aktivis politik Zamil Ibrahim melontarkan teguran keras kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), berhubung naratif politik serta penggunaan istilah kerajaan yang didakwa menyimpang dari asas asal penubuhannya.

Zamil secara tegas meminta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, untuk tampil memberi penjelasan berhubung bila dan bagaimana jenama “Madani” mula diguna pakai secara rasmi, sedangkan kerajaan yang dibentuk pada asalnya berpaksikan nama Kerajaan Perpaduan.
”Tolong buang perkataan Madani dalam kerajaan. Kami dari UMNO dan Barisan Nasional bukan keturunan Madani; rakyat di bawah terkeliru dan kami tak mahu jenama ini tersangkut dengan kami,” tegas Zamil.
Beliau turut membangkitkan ucapan perasmian kepimpinan UMNO baru-baru ini yang memberi peringatan agar permainan politik dan retorik melibatkan “guru” dihentikan segera demi menjaga kestabilan politik semasa.
Menyentuh kenyataan Perdana Menteri ketika lawatan di India yang ditujukan kepada ‘anak murid’, Zamil menyifatkan kenyataan balas tersebut sebagai tanda bahawa kepimpinan tertinggi mula terasa dengan tekanan politik yang kian meningkat di peringkat akar umbi.
Mengulas isu mandat pentadbiran, Zamil mempersoalkan asas sokongan yang diperoleh PMX, sambil mengingatkan bahawa kedudukan tampuk kuasa hari ini terbentuk atas ihsan dan sokongan parti komponen lain, bukannya kemenangan mutlak satu parti semata-mata.
”Bila masa yang kamu dapat mandat penuh? Yang mencukupkan kerusi untuk PMX menjadi Perdana Menteri adalah ‘anak murid’ itu sendiri,” bidas Zamil merujuk kepada sokongan Barisan Nasional yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Azam Rauzan turut menambah bahawa mesej “cukup-cukuplah guru” ini bukan sekadar luahan politik elit, sebaliknya mencerminkan denyut nadi serta isyarat jelas daripada rakyat marhaen yang semakin muak dengan polemik yang berpanjangan.
Menurut mereka, petunjuk penolakan dan rasa tidak puas hati ini bukan sahaja dizahirkan di Johor dan Negeri Sembilan, malah kini merebak ke Melaka, Sabah, serta dijangka turut bergema di Sarawak dalam masa terdekat.
Sesi temu bual tersebut diakhiri dengan seruan bersama agar kepimpinan Perdana Menteri mendengar isyarat sebenar rakyat terbanyak dan menghentikan retorik politik sebelum kedudukan kerajaan terus tergugat.
#BeritaAAC #KerajaanPerpaduan #PMX #PolitikMalaysia #SembangKopi