
KUALA LUMPUR, 13 September 2026 — Alasan beban hutang skandal 1MDB yang sering dijadikan hujah untuk menafikan pembebasan atau pengampunan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tidak adil serta memperlihatkan sikap ‘double standard’ pihak tertentu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa pihak yang lantang mengkritik seolah-olah sengaja melupakan rekod hutang negara pada 2018 yang hanya berada sekitar RM680 bilion berbanding situasi semasa.
Menurut beliau, dalam tempoh lapan tahun selepas 2018, angka hutang negara melonjak drastik sehingga mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran tiga Menteri Kewangan berbeza iaitu Lim Guan Eng, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”Ketika era Barisan Nasional (BN), pihak Pakatan Harapan mendakwa angka RM680 bilion itu sudah menggambarkan negara di ambang muflis. Oleh itu, angka hutang RM1.3 trilion hari ini di ambang apa pula?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pada zaman hutang RM680 bilion tersebut, rakyat jelas melihat limpahan hasil pembangunan fizikal berskala besar seperti MRT, sambungan LRT, KLIA2, Lebuhraya Pan Borneo, TRX, ECRL dan pelbagai projek mega lain, selain pertambahan aset strategik di bawah Khazanah Nasional.
Sebaliknya kata Gulam, tiada satu pun projek mega baharu yang benar-benar dihasilkan selepas 2018, melainkan kerajaan pasca-2018 hanya menumpang merasmikan dan menuntut kredit ke atas projek peninggalan Najib yang telah siap.
”Bila siap dan dirasmikan, bolehlah menumpang ‘claim credit’. Namun apabila timbul persoalan mengenai beban hutang negara, alasan paling mudah adalah terus menuding jari kepada Najib dan 1MDB walaupun beliau sudah lama berada di penjara,” katanya.
Menyentuh soal pengampunan, beliau menegaskan naratif bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak layak diampunkan merupakan satu bentuk diskriminasi terang-terangan terhadap Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terpakai kepada mana-mana banduan tanpa diskriminasi, sama seperti proses pengampunan penuh yang pernah dinikmati Anwar Ibrahim sebelum ini atas sabitan lalu.
”Dalam soal ini, isu ‘layak atau tidak layak’ bukan persoalan utama, sebaliknya hak sebagai rakyat Malaysia mesti dipelihara di bawah kedaulatan undang-undang dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam mengingatkan semua pihak agar menghentikan sikap dwistandard dan berpilih-pilih, selaras dengan peringatan kepimpinan parti di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) agar kepimpinan negara menunjukkan teladan yang adil.
#BeritaAAC #HutangNegara #NajibRazak #PengampunanDiraja #PolitikMalaysia