KUALA LUMPUR – Akar umbi parti Melayu sebenarnya sudah sekian lama mendambakan penyatuan tulen antara kuasa politik terbesar demi memastikan kestabilan dan kemenangan bersama dalam pilihan raya.
Pandangan itu dizahirkan oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Dr Azhari Shaari, ketika mengulas dinamika politik semasa dan persiapan parti menjelang siri pilihan raya negeri (PRN) serta pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, sentimen akar umbi jelas mahukan formula permuafakatan politik dipertahankan, meskipun pucuk pimpinan mengingatkan agar sentiasa berhati-hati supaya ‘tidak dipatuk ular kali kedua’.
Dr Azhari berkata, pengalaman lalu seharusnya menjadi pengajaran terbaik buat semua pihak dan tidak wajar lagi dijadikan alasan untuk terus berpecah-belah.
”Kita semua sudah belajar, baik pihak kita mahupun sebelah sana. Mungkin semua yang berlaku sebelum ini adalah ujian daripada Allah SWT,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.
Beliau menambah, formula kerjasama dan perpaduan seperti yang pernah dipamerkan di beberapa negeri wajar diteruskan kerana ia berupaya membawa momentum positif kepada landskap politik negara.
Tegasnya lagi, sekiranya formula penyatuan ini kekal tanpa sebarang perpecahan antara parti-parti Melayu, bukan sahaja kerusi sedia ada mampu dipertahankan, malah ia berpotensi menambah kerusi baharu untuk membentuk kerajaan yang stabil.
Menyentuh situasi di kawasan Parlimen Shah Alam, Dr Azhari mengakui beliau tidak mahu bersikap terlalu yakin (overconfident), namun optimis terhadap peluang yang ada sekiranya perpaduan ini diterjemahkan di peringkat lapangan.
”Saya sudah hampir tiga penggal memimpin UMNO Bahagian Shah Alam dan telah mencurahkan segala kudrat yang ada. Mungkin sebelum ini rezeki belum menyebelahi kita untuk memimpin Shah Alam,” jelasnya.
Namun, beliau menegaskan jentera parti tidak pernah patah semangat dan terus bekerja keras demi membela nasib masyarakat setempat.
Mengakhiri bicaranya, Dr Azhari yakin usaha berterusan tanpa putus asa pasti akan membuahkan hasil suatu hari nanti.
”Kita percaya sentiasa ada sinar di hujung terowong, dan mungkinkah masanya adalah sekarang? Sama-samalah kita doakan,” ujarnya.
#BeritaAAC #UMNOShahAlam #PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #PRNMelaka