KUALA LUMPUR, 20 September 2026 – Polemik dakwaan ‘dua darjat’ membabitkan keputusan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai naratif berniat jahat yang cuba dimainkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa tindakan mempersoalkan keputusan Lembaga Pengampunan seolah-olah membuka ruang perdebatan tidak sihat yang menuduh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bersikap selektif, berat sebelah serta khilaf dalam membuat ketetapan.
Menurut beliau, masyarakat perlu celik perlembagaan bahawa pengampunan diraja merupakan hak prerogatif mutlak YDPA di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang terpakai kepada mana-mana banduan yang layak, termasuk warga asing.
Gulam mengingatkan bahawa sebelum Najib diberikan pertimbangan tersebut, ribuan banduan lain telah pun menerima pengampunan daripada YDPA dan Sultan di negeri masing-masing tanpa dipersoalkan latar belakang mereka.
Sebagai bukti, beliau mendedahkan Lembaga Pengampunan Siri 63 menyaksikan 65 banduan dibebaskan, selain kes pembebasan penuh seorang selebriti yang dipenjara akibat kesalahan ganja oleh Sultan Selangor, serta pengampunan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu.
Justeru, beliau membidas pihak yang menggunakan sentimen ‘elit politik lawan marhaen’ hanya semata-mata kerana individu yang menerima pertimbangan tersebut bernama Najib Razak.
Sebaliknya, Gulam menggesa rakyat dan pemerhati politik untuk lebih peka serta mempersoalkan status kes berprofil tinggi lain seperti kes terowong membabitkan Lim Guan Eng dan kes Jana Wibawa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa seakan-akan ‘dihentikan separuh jalan’ tanpa perbicaraan penuh.
Beliau menyifatkan penamatan kes-kes berprofil tinggi sedemikian jauh lebih berat kerana ia secara langsung menyentuh ketelusan proses keadilan undang-undang berbanding pelaksanaan kuasa budi bicara yang dijamin perlembagaan.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam mencabar DAP agar mencadangkan pemansuhan Perkara 42 secara rasmi sekiranya parti itu berterusan berasa ‘pahit’ dengan kuasa prerogatif yang sememangnya tidak pernah melanggar undang-undang tertinggi negara.
#BeritaAAC #PengampunanDiraja #NajibRazak #Perkara42 #PolitikMalaysia