KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Noh Omar menyifatkan wadah dan hala tuju perjuangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sangat dekat di hatinya kerana berkongsi prinsip serta matlamat yang sama.
Beliau menzahirkan penghargaan tersebut susulan jemputan daripada kepimpinan Perkasa, khususnya Pemangku Presiden, Syed Hassan Syed Ali serta barisan kepimpinan yang menjemputnya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa Kali Ke-17.
Menurut Tan Sri Noh Omar, prinsip perjuangan Perkasa sentiasa konsisten dan sejiwa dengan apa yang diperjuangkannya selama ini dalam membela nasib serta hak orang Melayu.
Selain memartabatkan kedudukan orang Melayu, beliau menegaskan bahawa peranan Perkasa dalam mempertahankan kesucian agama Islam dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu amat penting dan tidak boleh dinafikan.
Mengulas lanjut, beliau turut mengimbas sejarah kegemilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang pernah menjadi antara gerakan paling berpengaruh di negara ini.
Jelasnya, Perkasa sebelum ini telah berjaya membuktikan pengaruhnya apabila berjaya menarik sokongan besar sehingga merekodkan sekitar 700,000 orang ahli.
Sehubungan itu, beliau menaruh harapan tinggi agar Perkasa dapat meneruskan momentum serta memainkan peranan proaktif dalam menyatu-padukan orang Melayu di seluruh negara.
Beliau yakin, usaha berterusan daripada NGO seperti Perkasa mampu memperkukuh perpaduan ummah dan memastikan agenda serta kebajikan orang Melayu terus terpelihara.
#BeritaAAC #NohOmar #Perkasa #PenyatuanMelayu #MuafakatNasional