KUALA LUMPUR, 26 September 2026 – Pakatan Harapan (PH) disifatkan bersikap hipokrit dan semakin terdesak apabila masih mengharapkan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun sering melemparkan pelbagai tohmahan terhadap gabungan itu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, sikap gabungan itu ibarat “depan tuduh sakau, belakang sasau” kerana di khalayak umum mereka lantang menyerang BN dan UMNO, namun di belakang tabir giat memujuk untuk membentuk pakatan pilihan raya.
Menurut beliau, keterdesakan itu terserlah apabila pelbagai usaha ‘membeli jiwa’ dilakukan, termasuk tindakan Perdana Menteri menyambut ulang tahun kelahiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, demi memuktamadkan rundingan kerusi.
Gulam menegaskan, PH kini sedar kedudukan mereka rapuh sehingga terpaksa menyediakan pelan kontigensi sekiranya rundingan bersama BN menemui jalan buntu.
Antara langkah kontigensi tersebut termasuklah cadangan membuka ruang kerjasama dengan parti-parti lain di bawah formula ‘PH Plus’.
Beliau menjelaskan bahawa tumpuan terarah kepada BN kerana gabungan itu memegang mandat kukuh menerusi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikannya parti teras (core party) yang menentukan kestabilan politik di Melaka.
Justeru, sebarang cubaan meminggirkan BN hanya akan merugikan pihak lawan yang amat memerlukan sokongan akar umbi gabungan berkenaan.
Beliau turut menyindir dinamik politik semasa dengan mempersoalkan sama ada label ‘UMDAP’ yang sering dimainkan sebelum ini bakal bertukar menjadi ‘BERSEDAP’ menerusi konsep PH Plus yang cuba digagaskan.
Dalam pada itu, mengulas situasi Perikatan Nasional (PN) yang didakwa berdepan tindakan penggantungan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sehingga tidak dapat menggunakan logo sendiri, Gulam mencadangkan agar BN mengambil langkah proaktif.
Beliau mengesyorkan agar BN memperkenalkan formula ‘BN Plus’ bagi memperkukuh penguasaan dan meneruskan momentum gelombang biru seperti yang dicapai di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Menerusi pendekatan tersebut, calon-calon berpotensi di bawah kerangka BN Plus disarankan bertanding menggunakan panji dan lambang dacing bagi mempamerkan solidariti yang padu.
”Nampak solidariti gelombang biru di Melaka. Amacam?” ujar beliau optimis melihat peluang BN meneruskan dominasi di negeri Hang Tuah itu.
#PRNMelaka #GelombangBiru #PolitikMalaysia #BarisanNasional #BeritaAAC