KUALA LUMPUR – Tafsiran undang-undang berhubung pembatalan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mencetuskan polemik hangat apabila ia dilihat mampu memberi implikasi besar terhadap amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
Peguam kanan, Dato’ Hasnal Rezua Merican, menegaskan bahawa tafsiran undang-undang yang menyifatkan pemecatan Exco Negeri Sembilan oleh Yang Di-Pertuan Besar (YDP) tanpa nasihat Menteri Besar sebagai sah, secara langsung membuka tafsiran serupa di peringkat Kersekutuan.
Beliau membuat perbandingan terus antara Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan dengan Fasal 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, yang masing-masing memperuntukkan kuasa pelantikan dan penamatan jawatan anggota pentadbiran eksekutif.
Menurut beliau, teks perundangan dalam kedua-dua peruntukan berkenaan mempunyai maksud serta struktur bahasa yang sama, lantas membawa kepada operasi perundangan yang setara.
”Bahasanya sama. Maka operasinya sama,” tegas beliau menerusi satu kenyataan berhubung tafsiran tersebut.
Hasnal menjelaskan, sekiranya di mata Peguam Negara pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan oleh YDP tanpa nasihat Menteri Besar adalah sah, maka formula tafsiran yang sama memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) juga berhak menamatkan khidmat mana-mana Menteri Persekutuan tanpa memerlukan nasihat Perdana Menteri.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sepanjang lipatan sejarah perlembagaan negara, di mana Peguam Negara meletakkan tafsiran bahawa Seri Paduka Baginda boleh memecat menteri secara terus.
”Di dalam sejarah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Persekutuan Malaysia, inilah kali pertama Peguam Negara membuat tafsiran YDPA boleh memecat Menteri secara terus,” katanya.
Mengulas lanjut dengan nada sinis, Hasnal menyuarakan pandangan bahawa sekiranya tafsiran sedemikian benar-benar terpakai, kuasa tersebut wajar digunakan untuk membersihkan barisan jemaah menteri.
Beliau menyarankan agar tindakan pemecatan berkenaan dikenakan terhadap menteri-menteri yang dianggap tidak berfungsi, gagal mendapat mandat sokongan rakyat, serta mereka yang pernah memperlihatkan sikap biadab terhadap Institusi Diraja.
Pandangan tersebut dijangka terus mengundang perdebatan ilmiah dan politik berhubung had kuasa budi bicara Institusi Raja berbanding prinsip nasihat pentadbiran eksekutif dalam sistem pentadbiran negara.


#BeritaAAC #PerlembagaanMalaysia #IsuSemasa #PolitikMalaysia #RajaBerperlembagaan